Skip to main content

Sukan

Sukma Selangor XXII: 18 laluan di Sepang ditutup empat hari bermula Ahad

https://www.bernama.com/bm/am/news.php?id=2592738
Sebanyak 96 lokasi akan diberi perhatian bagi penugasan kawalan lalu lintas sepanjang acara berbasikal lebuh raya itu berlangsung. - Gambar fail/SUKMA
Advertisement

KUALA LUMPUR: Orang ramai yang menggunakan laluan di Sepang dinasihatkan merancang perjalanan lebih awal susulan penutupan dan lencongan jalan secara berperingkat di 18 lokasi di daerah itu, sempena acara berbasikal lebuh raya SUKMA Selangor XXII 2026 selama empat hari bermula Ahad ini.

Penutupan jalan itu akan dilaksanakan antara jam 8.30 pagi hingga 12.30 tengah hari bagi memberi laluan kepada 142 peserta yang menyertai acara berkenaan.

Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Norhizam Bahaman berkata, sebanyak 96 lokasi akan diberi perhatian bagi penugasan kawalan lalu lintas sepanjang acara berbasikal lebuh raya itu berlangsung.

"Kesemua lokasi terbabit dibahagikan kepada empat zon, iaitu Zon A membabitkan Jalan Pantai Sepang Putra hingga Sempadan Tumbuk, Zon B di Jalan Dengkil-Jenderam Hulu, Zon C di Jalan Jenderam-Salak dan Zon D di Jalan Salak Sepang-Sungai Pelek," katanya dalam kenyataan, di sini pada Jumaat.

Menurut Norhizam, pada Ahad, Isnin dan Rabu, penutupan jalan membabitkan Persiaran Pantai Sepang Putra, Jalan Kampung Bagan Lalang, Jalan Bukit Bangkong-Tanjung Rhu serta Jalan Tumbuk Sempadan.

"Sementara itu, pada Selasa, penutupan turut membabitkan Jalan Banting-Semenyih, hala Dengkil, lampu isyarat Pekan Dengkil, lampu isyarat Simpang Empat Dengkil, hala Jenderam, Jalan Jenderam Hilir, Jalan Jenderam-Salak, Simpang Taman Mawar-BBST dan Jalan Bandar Baru Salak Tinggi," jelasnya.

Kata beliau, turut terlibat ialah Jalan Salak Tinggi, Medan 88, Jalan Kompleks Kerajaan Daerah Sepang, Jalan Pekan Salak-Lembah Paya, lampu isyarat Kuarters KLIA, Jalan Sepang Lama dan Jalan Sungai Pelek.

Tambahnya, anggota polis turut menjalankan rondaan dan pemantauan di sepanjang laluan terbabit bagi memastikan keselamatan peserta serta pengguna jalan raya, di samping memastikan kawalan lalu lintas berjalan lancar.

Justeru kata beliau, orang ramai dinasihatkan mematuhi arahan anggota bertugas dan menggunakan laluan alternatif yang disediakan sepanjang tempoh penutupan jalan berkenaan.

Must Watch Video

Advertisement