Sejumlah 15,000 peserta dari seluruh negeri telah menyertai program FIT Malaysia peringkat Negeri Sembilan yang berlangsung pagi tadi di Dataran Rembau, di sini.

Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin berkata ini merupakan penyertaan paling ramai untuk FIT Malaysia tahun ini.

"Tahun lepas kita buat FIT Malaysia di ibu-ibu negeri dan tahun ini kita buat di bandar kedua, walaupun begitu penyertaan yang kita terima pada tahun ini tidak kurang daripada tahun lepas.

"Ini menunjukkan rakyat Malaysia semakin cergas dan saya optimis objektif kita untuk mewujudkan negara bersukan boleh berjaya sebelum tahun 2020," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program FIT Malaysia Peringkat Negeri Sembilan.

Khairy yang juga Anggota Parlimen Rembau berkata pada tahun hadapan, FIT Malaysia akan dibuat di bandar-bandar ketiga atau pekan-pekan di setiap negeri.

"Kalau di Negeri Sembilan, mungkin kita akan buat di Port Dickson ke atau mungkin di Kuala Pilah," katanya.

Sementara itu, program yang bermula seawal pukul 6 pagi itu telah dimulakan dengan pelepasan peserta bagi acara berbasikal (FM Ride) sejauh 10km dan 30km dan diikuti dengan pelepasan peserta bagi acara larian (FM Run) dengan jarak sejauh 5km dan 10km.

Antara aktiviti-aktiviti kecergasan lain yang berlangsung pada hari ini ialah aerobik, zumba, 'Stix2Stick', 'fit ball' dan 'line dance'.

Turut diadakan ialah pameran oleh Institut Sukan Negara, Sekretariat Hari Sukan Negara, Sekretariat Sukan SEA 2017, Jabatan Kesihatan Negeri.