Penyerang hoki negara, Tengku Ahmad Tajuddin Tengku Abdul Jalil anggap mencatat angka 200 beraksi tidak membawa makna apa-apa sekiranya tidak mampu membawa skuad hoki mencapai kemenangan berdepan Ireland malam ini.

Tengku Ahmad Tajuddin membuat penampilan pertama pada tahun 2006 dan telah mengharungi pelbagai cabaran untuk tiba di saat ini.

Ketika ini hanya ada 4 pemain yang sudah mencatat penampilan 200 iaitu bekas kapten Azlan Misron, penjaga gol S. Kumar serta Shahrun Nabil dan Sukri Mutalib keduanya merupakan pemain tengah.

Walau bagaimanapun, Tengku Ahmad Tajuddin bertegas dia hanya mahu fokus untuk melihat skuad negara menang.

"Pada saya, tidak membawa sebarang perbezaan sekiranya saya membuat penampilan ke 200 kerana apa yang penting kami perlu menang, sekiranya gagal jumlah penampilan ini tidak membawa sebarang perbezaan," katanya.

Berdepan Ireland, sudah pasti barisan serangan skuad negara bakal menjadi tumpuan sepertimana ketika berdepan China sebelum ini.

Setakat ini, hanya Faizal Saari dan Haziq Shamsul telah meledak gol padang sekaligus meletakan penyerang lain seperti Tengku, Izwan Firdaus, Shaaril Saabah dan Firhan Ashaari untuk mencipta nama.

Izwan optimis pasukan sudah berada dalam keadaan baik ketika ini.

"Sekarang ini mungkin kami belum mencapai tahap 100 peratus namun kami sudah pun melalui latihan dan yakin prestasi kami akan berada ditahap terbaik menjelang bertemu Ireland," katanya.

Firhan Ashaari turut meluahkan keyakinan sama dan memberi bayangan mampu tundukan Ireland.

"Pemain semua sudah membuat persediaan rapi, tapi bagi saya memang tiada masalah untuk kami menang,"katanya.