PENYERANG Manchester United kembali "berbisa" selepas membelasah Southampton --- yang beraksi dengan sembilan pemain -- 9-0 di Old Trafford, awal pagi tadi.

Ia kali ketiga sesebuah pasukan memenangi perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) dengan sembilan gol dan buat julung kalinya juga The Red Devils menang dengan jurang itu sejak Mac 1995 yang menyaksikan mereka menewaskan Ipswich Town dengan keputusan serupa.

Di sebalik Andy Cole mencetuskan inspirasi lima gol dalam kemenangan pada 1995 itu, kali ini tuan rumah saling berkongsi gol -- tujuh pemain menemui sentuhan pemusnah untuk muncul pasukan kedua yang mempunyai penjaring berbeza ke atas lawan yang sama dalam sebuah perlawanan EPL.

Marcus Rashford, Anthony Martial dan Edinson Cavani antara yang mencetak nama selaku penjaring bertindak balas dengan cara terbaik bagi menyahut seruan Solskjaer terhadap barisan penyerangnya sebelum sepak mula.

"Ya, tentu saja," kata pengurus itu sambil tertawa kepada BT Sport ketika ditanya apakah mereka kembali berbisa.

"Anda boleh saksikan keyakinan tinggi dalam persembahan seperti ini dan keputusannya. Jaringan adalah langkah yang bagus buat penyerang dan pasukan."

Tambahnya: "Kami sememangnya menunggu masa sahaja untuk melihat mereka menunjukkan detik keajaiban dan malam ini mereka menyajikannya dan mereka menikmatinya.

"Kami tidak kerap memperagakan satu persembahan mantap dalam babak kedua yang boleh membuatkan penonton tidak mahu berganjak, jadi mereka menikmatinya dalam perlawanan. Ada beberapa persembahan yang menonjol."

Kad merah Alexandre Jankewitz atas kekasaran terhadap Scott McTominay pada minit kedua permainan -- yang juga antara penjaring perlawanan -- meletakkan The Saints semakin tempang untuk ketinggalan 0-4 sebelum rehat dan Jan Bednarek menyusuli hukumannya dalam separuh masa kedua.