SUKAN
Abu Bakar Atan terima anugerah legend of AIPS Asia

Abu Bakar Atan dianugerahkan gelaran 'Legend of AIPS Asia' sempena Kongres ke-26 Persatuan Penulis-Penulis Sukan Asia (AIPS Asia) hari ini. - Foto Bernama
KUALA LUMPUR: Wartawan sukan berpengalaman negara, Abu Bakar Atan, menerima pengiktirafan di peringkat Asia apabila dianugerahkan gelaran 'Legend of AIPS Asia' sempena Kongres ke-26 Persatuan Penulis-Penulis Sukan Asia (AIPS Asia) yang berlangsung di Hong Kong, hari ini.
Ringkasan AI
- Abu Bakar Atan dianugerahkan gelaran 'Legend of AIPS Asia' sempena Kongres ke-26 AIPS Asia di Hong Kong, sebagai pengiktirafan atas lebih 30 tahun sumbangan beliau dalam kewartawanan sukan.
- Beliau menjadi penerima kedua dari Malaysia selepas Ahmad Khawari Mohd Isa, dan menyifatkan anugerah ini sebagai kemenangan untuk seluruh wartawan sukan negara.
- Abu Bakar memulakan kerjaya pada 1984 di Berita Harian, kemudian Harian Metro dan TV3, serta pernah menjadi Presiden Persatuan Penulis-Penulis Sukan Malaysia (SAM)
"Alhamdulillah, syukur kepada hadrat Allah kerana dengan izin-Nya saya terpilih untuk menerima anugerah ini. Sudah tentu anugerah ini bukan hanya untuk diri saya tetapi ia satu kemenangan buat seluruh warga kewartawanan sukan di Malaysia.
"Saya harap anugerah ini juga mampu menjadi pemangkin semangat khususnya kepada generasi muda mahupun mereka yang sedia ada dalam bidang kewartawanan sukan untuk terus meningkatkan penyampaian berita berkualiti, beretika, isi kandungan bermanfaat dan menarik," katanya dalam kenyataan hari ini.
Bekas Presiden Persatuan Penulis-Penulis Sukan Malaysia (SAM) itu menjadi penerima kedua anugerah berkenaan dari Malaysia, selepas Ahmad Khawari Mohd Isa yang turut menerima pengiktirafan sama pada tahun lepas.
Abu Bakar memulakan karier kewartawanan sukan pada 1984 sebagai wartawan sukan di Berita Harian dan seterusnya menjadi kumpulan pertama di Harian Metro dengan bertugas selama tiga tahun.
Beliau mengembangkan kariernya di TV3 dan membina kerjaya sebagai pembaca berita sukan sejak 1997 hingga 2021.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami