Abu Bakar sedia terajui PFA, fokus pulihkan bola sepak Perlis

Abu Bakar ketika sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri Perlis Bil.1/2026 buat pertama kali di Kompleks Seri Putra pada Rabu. - Foto BERNAMA
KANGAR: Menteri Besar Perlis Abu Bakar Hamzah menyuarakan keyakinan untuk menerajui kepimpinan Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA) dengan perancangan baharu bagi mengembalikan kegemilangan pasukan negeri itu, yang sekian lama menyepi daripada arena sukan tanah air.
Ringkasan AI
- Menteri Besar Perlis, Abu Bakar Hamzah, yakin untuk memimpin Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA) dengan perancangan baru bagi mengembalikan kegemilangan pasukan negeri itu.
- Perlis, yang pernah mencapai kejayaan dengan menjuarai Piala Malaysia pada 2004 dan 2006 serta Liga Super pada 2005, kini berusaha menyelesaikan isu pendaftaran dan pemilihan jawatankuasa PFA.
- PFA perlu mencari sumber kewangan dari pihak lain selepas pemecatan oleh FAM pada September 2025 disebabkan oleh kegagalan menyelesaikan isu berkaitan arahan FIFA, termasuk pembayaran gaji tertunggak dan pampasan kontrak.
Pasukan bola sepak Perlis yang dikenali dengan gelaran Singa Utara pernah mencipta sejarah apabila menjuarai Piala Malaysia pada 2004 dan 2006, selain muncul juara Liga Super pada 2005.
Abu Bakar berkata beliau turut mengadakan pertemuan dengan pihak Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) pada Isnin lepas dan hasil perbincangan itu membuka ruang kepada pelbagai perancangan baharu bagi memacu pembangunan bola sepak negeri berkenaan.
Sementara itu, Abu Bakar berkata pihaknya akan mencari jalan penyelesaian berhubung pemecatan PFA oleh FAM pada September tahun lepas, termasuk meneliti semula aspek kos serta tuntutan terhadap PFA selepas isu pendaftaran dan pemilihan jawatankuasa diselesaikan.
"... tetapi yang pentingnya bola sepak perlu kewangan. Insya-Allah tidak ada penyaluran daripada kerajaan negeri... tetapi kami akan berusaha mendapatkan sumber kewangan daripada pihak lain bagi membantu PFA," katanya.
Pada 4 Sept 2025, FAM dilaporkan memecat PFA sebagai ahli gabungan selepas persatuan itu gagal menyelesaikan isu berkaitan arahan Persatuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA), termasuk membayar gaji tertunggak dan pampasan kontrak kepada bekas Pengarah Bola Sepak PFA Matt Holland dalam tempoh enam bulan yang ditetapkan.
PFA bagaimanapun boleh mengemukakan permohonan untuk menjadi ahli gabungan FAM semula selepas semua permasalahan berjaya diselesaikan.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


