AFCON 2025: Nigeria mara ke suku akhir dengan kemenangan bergaya ke atas Mozambique

Nigeria kini muncul sebagai pasukan paling prolifik kejohanan. Mereka bakal berdepan pemenang pertemuan antara Algeria dan DR Congo. -Gambar Reuters
NIGERIA mengesahkan tempat ke suku akhir Piala Negara-Negara Afrika (AFCON) 2025 selepas mempamerkan aksi dominan untuk menewaskan Mozambique 4-0 dalam perlawanan pusingan 16 terakhir di Fes, Isnin (5 Januari).
Skuad Super Eagles tampil bertenaga dan tersusun, menepati amaran awal Victor Osimhen yang menyatakan Nigeria mampu “merosakkan” mana-mana lawan dalam kejohanan ini. Mozambique akhirnya menjadi mangsa kekuatan sebenar gergasi Afrika Barat itu.
Osimhen dan Ademola Lookman meletakkan Nigeria selesa mendahului 2-0 sebelum rehat, dengan kedua-dua jaringan hasil kreativiti Akor Adams yang beraksi cemerlang mengawal tempo permainan. Nigeria jelas menguasai perlawanan sejak wisel pertama, meninggalkan Mozambique bergelut mengekang serangan bertali arus.
Bersambung babak kedua, Lookman sekali lagi menjadi arkitek apabila hantaran lintangnya disudahkan Osimhen untuk gol kedua peribadi penyerang itu. Osimhen kemudiannya dikeluarkan pada minit ke-68 bagi memberi rehat awal selepas tugasan disempurnakan dengan penuh berkesan.
Kemenangan bergaya Nigeria dilengkapkan apabila Lookman membalas jasa Adams, sebelum penyerang itu melepaskan rembatan padu dari jarak 15 meter untuk menjaringkan gol antarabangsa pertamanya sekali gus menutup malam gemilang Super Eagles di Fes.
Dengan 12 gol dalam empat perlawanan, Nigeria kini muncul sebagai pasukan paling prolifik kejohanan. Mereka bakal berdepan pemenang pertemuan antara Algeria dan DR Congo pada aksi suku akhir yang dijadualkan berlangsung Ahad, 10 Januari.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


