Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin berharap pihak berkuasa Vietnam memberi perhatian serius mengenai spekulasi ancaman terhadap penyokong Malaysia menjelang aksi separuh akhir kedua Piala AFF Suzuki di Hanoi, Vietnam malam ini.

"Kami ada dengar ancaman terhadap penyokong kita dan saya sudah maklumkan kepada rakan sejawatan saya di Vietnam agar memberi perhatian serius terhadap perkara ini.

"...dan yang lebih penting, keselamatan pemain dan pegawai kita," katanya kepada pemberita selepas melawat Kompleks Sukan Labuan di sini Khamis.

Pada perlawanan separuh akhir pertama antara Malaysia dan Vietnam di Stadium Shah Alam, Ahad lepas, sekumpulan penyokong tempatan bertindak ganas menyerang penyokong pelawat selepas Vietnam menjaringkan gol kedua menyebabkan skuad Harimau Malaya tumpas 1-2.

Gambar-gambar pergaduhan sehingga menyebabkan beberapa penyokong Vietnam mengalami kecederaan menjadi viral.

Berikutan insiden itu, polis mengesan 15 penyokong bola sepak yang terlibat dalam kekecohan itu dan lima daripadanya sudah disoal siasat dan dibebaskan.

Semalam, kerajaan Vietnam memberi jaminan keselamatan kepada penyokong Malaysia yang hadir menyaksikan perlawanan separuh akhir kedua itu di Hanoi, malam ini.