TONGGAK pertahanan berpengalaman, Aidil Zafuan Abdul Radzak, mengakui teruja untuk menjulang kejuaraan Liga Super buat kali kesembilan berturut-turut bersama Johor Darul Ta'zim (JDT).

Aidil Zafuan yang menyertai Harimau Selatan pada 2013 muncul satu-satunya pemain yang masih kekal bersama kelab itu sejak revolusi besar-besaran dilancarkan pada 2014.

Ketika ditanya mengenai masa depannya sejurus majlis penyampaian trofi Liga Super selepas menundukkan Sabah 3-0 di Stadium Sultan Ibrahim pada Sabtu, pemain berusia 35 tahun itu menegaskan dia masih mempunyai baki kontrak setahun dan sedia untuk kekal berkhidmat bersama JDT.

Untuk rekod, Aidil Zafuan muncul pemain paling berjaya dalam saingan Liga Super dengan 10 gelaran juara termasuk bersama Negeri Sembilan pada musim 2005/2006 sebelum meniti kegemilangan dari 2014 hingga 2022 di JDT.

"Sudah tentu ada perbezaannya dari tahun ke tahun.

"Dengan umur yang ada ini, saya cuba dapatkan sebanyak mungkin (piala). Kita tidak tahu kerana dalam bola sepak ini karier kami bila-bila boleh habis.

"Saya masih ada kontrak dengan JDT. Mungkin disebabkan saya jarang bermain jadi ramai yang buat andaian tersendiri.

"Apa pun saya masih bersama JDT pada tahun depan," katanya selepas perlawanan.