KUALA TERENGGANU: Pemain sayap Terengganu FC (TFC), Akhyar Rashid mengalami kecederaan pada bahagian kepala dipercayai selepas dipukul dan menjadi mangsa samun.

Kejadian itu dikatakan berlaku di sebuah kondominium di sini kira-kira jam 9 malam pada Khamis.

Berdasarkan maklumat awal, pemain berusia 25 tahun itu dipercayai dipukul dengan senjata pada bahagian kepala dan badan oleh suspek yang tidak dikenali sebaik turun dari kenderaan.

Beberapa keping gambar dan rakaman video memaparkan kejadian menimpa pemain pinjaman Johor Darul Ta'zim (JDT) itu tular di media sosial sejak malam tadi.

Turut dikongsikan gambar pemain tersebut dalam keadaan terduduk di hadapan sebuah kenderaan dipercayai miliknya dalam keadaan lemah.

Selain itu, terdapat rakaman video menunjukkan pemain itu sedang menunggu untuk diberikan rawatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), di sini ditemani teman wanitanya yang juga selebriti, Eyka Farhana.

Difahamkan, selebriti itu berada di Terengganu untuk menyambut ulang tahun kelahiran Akhyar pada Rabu.

Bagaimanapun Akhyar dilaporkan berada dalam keadaan stabil.


Akhyar yang juga tonggak Harimau Malaya mula menyertai TFC secara pinjaman daripada JDT untuk saingan Liga Malaysia (Liga M) musim ini.

Pemain itu juga difahamkan berada dalam perancangan pengendali negara, Kim Pan-gon untuk aksi Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027, bulan depan. - Sinar Harian