SEBUAH bandar di tanah besar China telah membatalkan rancangannya untuk menganjurkan perlawanan bola sepak yang menampilkan pasukan kebangsaan Argentina selepas kemarahan memuncak terhadap Lionel Messi.

Messi telah berdepan dengan kritikan selepas dia hanya berada di bangku simpanan semasa perlawanan persahabatan yang menampilkan pasukan kelabnya, Inter Miami di Hong Kong.

Seramai 40,000 orang telah menghadiri perlawanan itu di Hong Kong dan mengharapkan dapat melihat aksi pemain bola sepak terbaik dunia itu.

Namun, acara itu berakhir dengan ejekan daripada peminat selepas Messi tidak disenaraikan untuk bermain kerana dikatakan mengalami kecederaan.

Tanda terbaharu rasa tidak puas hati China terhadap Messi pada Sabtu, apabila Biro Sukan Hangzhou berkata bahawa mereka tidak akan menganjurkan perlawanan persahabatan antara Argentina dan Nigeria yang dijadualkan diadakan di Pusat Sukan Olimpik Hangzhou.

Tanpa merujuk kepada apa sebenarnya yang berlaku, Biro Sukan Hangzhou berkata dalam satu kenyataan, menyifatkan pembatalan itu atas faktor yang telah diketahui oleh semua orang.

"Disebabkan sebab-sebab yang diketahui oleh semua, kami telah mendapat maklum balas daripada pihak pengendali perlawanan untuk tidak meneruskan perlawanan ini," katanya.

Perlawanan di Hangzhou itu adalah salah satu daripada dua aksi pasukan Argentina yang dijadualkan menentang Nigeria dan Ivory Coast pada Mac.

*Artikel asal yang disiarkan di Sinar Harian