Skip to main content

Dunia

Perancis sahkan kes pertama Ebola babitkan doktor yang pulang dari DR Congo

Medical workers dressed in personal protective equipment (PPE) disinfect and wash their hands at an Ebola treatment centre during a ceremony to present recovery certificates to patients at the Rwambara General Reference Hospital in Bunia, eastern Democratic Republic of Congo, June 16, 2026. REUTERS
Wabak semasa didorong oleh strain Bundibugyo yang jarang ditemui bagi virus Ebola, yang sehingga kini masih belum mempunyai vaksin yang diluluskan. - Gambar fail/REUTERS
Advertisement

ISTANBUL: Perancis mengesahkan kes Ebola import pertama selepas seorang doktor kemanusiaan pulang daripada misi di Republik Demokratik Congo (DR Congo), menurut Kementerian Kesihatan negara itu pada Rabu, lapor Anadolu Ajansi (AA).

Pesakit yang pulang dari kawasan yang sedang dilanda penularan virus Ebola di Congo itu segera dimasukkan ke sebuah kemudahan penjagaan kesihatan khusus dan kini berada dalam keadaan stabil, menurut kementerian itu dalam satu kenyataan.

"Semua langkah berjaga-jaga, termasuk pengasingan pesakit, diambil sebaik sahaja beliau tiba di negara ini," menurut kenyataan itu, sambil menjelaskan yang pemindahan ke hospital dilakukan dalam keadaan selamat bagi mengelakkan sebarang risiko jangkitan.

Pihak berkuasa kesihatan Perancis memaklumkan yang siasatan epidemiologi menyeluruh sedang dijalankan untuk mengenal pasti individu yang mungkin berhubung dengan pesakit berkenaan.

Mereka yang dikenal pasti akan dihubungi oleh agensi kesihatan serantau, diarahkan menjalani pengasingan di rumah selama 21 hari dan dipantau rapi sepanjang tempoh itu.

Kementerian itu turut memaklumkan bahawa sistem pemantauan khusus sedia dilaksanakan bagi pekerja bantuan Perancis yang pulang ke negara itu.

Wabak Ebola yang tertumpu di wilayah timur Ituri merebak ke kawasan berhampiran dan mendorong peningkatan pemantauan di Uganda berikutan kebimbangan terhadap penularan rentas sempadan.

Pegawai kesihatan memberi amaran yang wabak itu terus menimbulkan ancaman besar di peringkat serantau, khususnya di kawasan yang terjejas akibat konflik, perpindahan penduduk dan infrastruktur kesihatan yang lemah.

Wabak semasa didorong oleh strain Bundibugyo yang jarang ditemui bagi virus Ebola, yang sehingga kini masih belum mempunyai vaksin yang diluluskan.

Penyakit itu menyebabkan demam berdarah yang teruk dan merebak melalui sentuhan langsung dengan cecair badan individu yang dijangkiti.

-- BERNAMA-ANADOLU

 

Must Watch Video

Advertisement