Skip to main content
Advertisement

Bisnes

Ringgit terus meningkat susulan data ekonomi Malaysia kukuh

71762835969_matawangringgit.jpg
Pada 6 petang, mata wang tempatan meningkat kepada 4.1355/1400 berbanding dolar AS daripada 4.1380/1430 semasa ditutup pada Selasa. - Foto hiasan
Advertisement

KUALA LUMPUR: Ringgit meneruskan kenaikan untuk ditutup tinggi berbanding dolar AS serta mata wang utama lain dan negara ASEAN pada Rabu, disokong oleh data ekonomi Malaysia yang lebih kukuh berbanding jangkaan, yang menambah keyakinan pelabur dan sentimen pasaran.

Pada 6 petang, mata wang tempatan meningkat kepada 4.1355/1400 berbanding dolar AS daripada 4.1380/1430 semasa ditutup pada Selasa.

Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), pelaburan langsung asing (FDI) di Malaysia pada 2025 melonjak 41.2 peratus kepada RM65.9 bilion daripada RM46.7 bilion pada 2024, disokong oleh suntikan ekuiti daripada pelabur asing dan aliran masuk dalam instrumen hutang.

DOSM memaklumkan, kedudukan FDI terkumpul negara meningkat kepada RM1.089 trilion pada akhir 2025, merangkumi 53.7 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) berbanding 51.4 peratus pada 2024.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata data ekonomi yang memberangsangkan terus menyokong ringgit sekali gus mencerminkan keyakinan yang semakin meningkat terhadap prospek ekonomi Malaysia.

“Pertumbuhan FDI menyokong pandangan positif terhadap asas ekonomi Malaysia memandangkan imbangan pembayaran (BOP) negara menunjukkan aliran masuk positif ke Malaysia. Ini bermakna permintaan terhadap ringgit kekal positif,” katanya kepada Bernama.

Mohd Afzanizam berkata kenyataan Jawatankuasa Pasaran Kewangan (FMC) Bank Negara Malaysia (BNM) hari ini menunjukkan bahawa pergerakan ringgit dan mata wang serantau baru-baru ini telah didorong oleh perkembangan global seperti jangkaan kenaikan kadar faedah Amerika Syarikat (AS).

“FMC turut mengambil maklum mengenai aliran keluar oleh pelabur bukan pemastautin, yang sebahagian besarnya disebabkan pelarasan portfolio oleh dana asing berikutan prestasi kukuh ringgit pada awal tahun ini.

“Sehubungan itu, kenyataan FMC menunjukkan bahawa BNM menyedari dinamik pasaran semasa dan akan bertindak sewajarnya bagi memastikan pasaran mata wang yang teratur,” katanya.

Beliau berkata kebimbangan terhadap kenaikan kadar faedah di AS terus mempengaruhi sentimen pasaran apabila bacaan Indeks Pengurus Pembelian (PMI) AS bagi Jun meningkat berbanding jangkaan, sekali gus memaparkan keyakinan perniagaan yang masih kukuh.

“Bacaan PMI yang lebih tinggi berbanding jangkaan menjadikan kemungkinan kenaikan kadar faedah AS  semakin meyakinkan, dengan kebarangkalian untuk kadar faedah pada mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) pada September meningkat kepada 54.7 peratus,” katanya.

Pada penutup dagangan, ringgit lebih kukuh berbanding sekumpulan mata wang utama.

Unit tempatan meningkat berbanding pound Britain kepada 5.4481/4540 daripada 5.4750/4816 semasa ditutup semalam, naik berbanding euro kepada 4.6921/6972 daripada 4.7223/7280 dan mengukuh berbanding yen Jepun pada 2.5567/5595 daripada 2.5638/5669.

Mata wang tempatan juga lebih tinggi berbanding mata wang serantau.

Ringgit menokok berbanding dolar Singapura kepada 3.1848/1885 daripada 3.1959/2000 semasa ditutup pada Selasa, dan naik berbanding baht Thailand kepada 12.3658/3845 daripada 12.4845/5053 sebelumnya.

Unit tempatan juga meningkat berbanding rupiah Indonesia kepada 230.3/230.7 daripada 231.6/232.0 semalam dan mengukuh berbanding peso Filipina kepada 6.72/6.73 daripada 6.74/6.75 sebelumnya.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement