DUA gol dan satu bantuan jaringan daripada Danny Welbeck membolehkan skuad kendalian Arsene Wenger terus memberikan tekanan buat Chelsea yang berada di tangga kelima liga selepas Arsenal menewaskan Southampton 3-2 di Emirates, sebentar tadi.

Berada di tangga keenam, Arsenal melayan kunjungan The Saints dengan misi untuk memperoleh kemenangan bagi merapatkan jurang mata dengan Chelsea.

Bagaimanapun, impian anak-anak buah Wenger tersentak apabila Shane Long menyempurnakan hantaran lintang Cedric Soares untuk membuka tirai jaringan buat pelawat pada minit ke-17.

Terkejut dengan gol pembukaan itu, The Gunners menggandakan asakan untuk memburu jaringan penyamaan dan usaha itu berhasil pada minit ke-28.

Tindakan bijak Welbeck yang melambungkan bola telah memerangkap Cedric serta membolehkan penyerang Gabon, Pierre-Emerick Aubameyang, melepaskan tendangan menewaskan Alex McCarthy untuk mengikat kedudukan 1-1.

Arsenal hanya memerlukan 10 minit untuk meletakkan diri di depan, kali ini menerusi Welbeck selepas pemain skuad kebangsaan England itu melepaskan sepakan yang melencong masuk ke gawang pelawat dan kedudukan 2-1 kekal sehingga tamat babak pertama.

Bersambung separuh masa kedua, kedua-dua pasukan tampak lebih cuba untuk mendominasi kawasan tengah padang.

Bagaimanapun, percaturan pelawat memasukkan Charlie Austin pada minit ke-71 menggantikan pertahanan, Maya Yoshida, membuahkan hasil apabila bekas tonggak Queens Park Rangers itu hanya memerlukan dua minit untuk menyamakan kedudukan buat Southampton selepas menyempurnakan gerakan bersama Cedric.

Tuan rumah kembali di depan pada minit ke-81 setelah Welbeck meraih jaringan kedua peribadi menerusi tandukan jarak dekat hasil hantaran Alex Iwobi untuk menjadikan kedudukan 3-2.

Walaupun aksi di Emirates dicemari dengan layangan kad merah terhadap pemain daripada kedua-dua pasukan, iaitu Mohamed Elneny dan Jack Stephens, kedudukan itu kekal sehingga tamat permainan.

Arsenal kini kekal di tangga keenam liga dengan 54 mata, dua mata di belakang Chelsea yang memiliki 56 mata, namun skuad kendalian Antonio Conte itu mempunyai kelebihan satu perlawanan.