Belumpun reda peminat sukan tanah air memperkatakan kehebatan jaguh pecut muda negara, Khairul Hafiz Jantan dalam acara balapan, pelari dari Melaka itu terus melakar nama pada Sukan Malaysia (Sukma) ke-18 yang sedang berlangsung di sini.

Pada Rabu, pelajar Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI) berusia 18 tahun itu berjaya mengatasi rekod seusia dirinya dalam acara 100m lelaki dengan catatan 10.18s, sekali gus mengatasi rekod 10.30s milik Watson Nyambek.

Kurang 24 jam selepas itu, beliau terus mencipta kejutan dengan mengatasi rekod 14 tahun acara 200m lelaki milik Nazmizan Muhammad iaitu 21.33 saat di Sukma Sabah pada 2002, dengan catatan terbaharu 21.14s.

Kehandalan jaguh pecut muda itu menyebabkan ramai mula berteka-teki sama ada Khairul Hafiz mampu memadamkan rekod 200m kebangsaan milik Tan Sri Dr M. Jegathesan iaitu 20.92s yang dicatatkan di Sukan Olimpik 1968 di Mexico.

Persoalan itu akan terjawab pada hari ke-11 temasya Sukma Sarawak, hari ini (Jumaat).

Sementara itu, juara keseluruhan temasya Sukma sebanyak lapan kali, Selangor masih menerajui carta pungutan pingat dengan meraih 48 pingat emas, 60 perak dan 48 gangsa, setakat ini.

Kontinjen Selangor tiba di Bumi Kenyalang dengan misi mengulangi kecemerlangannya selaku juara keseluruhan pada edisi 1988, 1996, 1998, 2000, 2002, 2004, 2006 dan 2013.

Sementara tuan rumah, Sarawak pula tidak jauh mengekori dengan 45 pingat emas, 27 perak dan 43 gangsa, manakala juara bertahan, Wilayah Persekutuan kekal di kedudukan ketiga dengan 33 emas, 34 perak dan 32 gangsa.

Perubahan ketara kedudukan pingat dijangka berlaku pada hari ke-11 temasya Sukma Sarawak esok, yang menawarkan jumlah pingat emas harian terbanyak iaitu 65 pingat.

Antara acara sukan menawarkan paling banyak acara akhir hari ini, ialah pencak silat sebanyak 18 pingat emas, diikuti olahraga dengan 13 serta pelayaran yang berlangsung di Miri dengan 12 pingat emas.