Perlawanan di antara Melaka United dan Perak FA di Stadium Ipoh, Sabtu ini, bakal dilangsungkan tanpa kehadiran penyokong kedua-dua pasukan.

Keputusan itu diputuskan oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), ekoran insiden kekecohan yang ditimbulkan oleh penyokong Perak FA pada salah satu saingan Liga Super di Ipoh, musim lalu.

Timbalan Presiden, Melaka United Football Clu (MUFC), Datuk Wira Yusoff Mahadi menyifatkan keputusan itu sedikit sebanyak memberi kelebihan kepada anak buah Eric Williams untuk beraksi tanpa tekanan daripada penyokong lawan.

"Walaupun kami juga tidak dapat membawa penyokong sendiri akibat keputusan berkenaan, ia diakui membuka peluang bermain tanpa tekanan peminat, terutama penyokong fanatik Perak.

"Berikutan itu, pemain Hang Tuah harus mengambil kesempatan ini untuk mengatasi lawan selepas sekadar terikat 1-1 ketika berdepan Selangor di Selayang, minggu lalu," katanya.

Yusoff turut mengingatkan agar pemain mempamerkan aksi terbaik serta mengekalkan momentum mereka dalam misi membawa pulang tiga mata dari Ipoh.