SANGAT tidak profesional. Itu reaksi netizen selepas satu kenyataan berunsur provokasi yang dikeluarkan oleh pemain bola sepak Perlis, susulan kekalahan mereka dalam perlawanan pada Rabu.

Kenyataan itu dikeluarkan berikutan desakan penyokong yang mahukan penjelasan berhubung prestasi yang semakin menurun yang ditunjukkan skuad Singa Utara itu.

Akhbar Harian Metro semalam melaporkan penyokong Perlis yang hadir dalam perlawanan menentang Sabah di Stadium Likas, bersemuka dengan pemain untuk meluahkan rasa tidak puas hati, di samping mahukan penjelasan tentang penurunan prestasi mereka.

Biarpun kapten pasukan, Afif Amiruddin, terlebih dahulu memberikan penjelasan, namun jawapan yang diberi pemain pertahanan Perlis, Arman Fareez Ali, mengejutkan penyokong.

Mungkin juga kecewa apabila kesalahan diletakkan di bahu mereka, Arman memberitahu penyokong yang mereka boleh mengambil kasutnya dan seterusnya menggantikannya bermain dalam pasukan.

“Kalau abang rasa boleh main, ambil kasut saya dan masuk main,” itu yang diucapkan Arman seperti yang dilaporkan Harian Metro.

Ungkapan itu menjadi viral, dengan ramai penyokong bola sepak tempatan 'terguris' dengan kenyataan tersebut.







Ramai menyifatkan ia sebagai tidak menghormati penyokong, dan tidak seharusnya diungkapkan oleh seorang pemain bola sepak profesional.

Sebagai penyokong, kata mereka, adalah satu perkara biasa untuk mengambil tahu isu dan sebab naik turun pasukan, kerana menyokong bukan sahaja membabitkan tenaga dan masa, malah juga wang ringgit.

Pun begitu, ada juga yang melihat tindakan penyokong mengajak pemain bersemuka selepas perlawanan bukan satu tindakan bijak.






Ini kerana ketika itu, pemain masih tertekan dan berada dalam keadaan letih. Justeru mereka berpendapat adalah lebih baik jika satu sesi diatur di luar waktu perlawanan.

Dalam perlawanan semalam, Perlis tewas 0-1 kepada tuan rumah, Sabah. Pasukan bimbingan Dollah Salleh itu menghuni tangga kelapan Liga Perdana selepas 11 perlawanan.