Penasihat Persatuan Bola Sepak Kelantan Tan Sri Annuar Musa menyindir tindakan sesetengah pihak yang cuba ''memancing'' pemain The Red Warriors (TRW) menerusi ''pintu belakang''.

Beliau berkata tindakan tersebut disifatkannya tidak profesional kerana akan menyebabkan pemain melanggar kontrak yang telah ditandatangani dengan KAFA pada awal musim.

"Kepada pasukan yang berminat pun begitu. Runding secara rasmi dan telus bila sampai masanya. Dengan demikian kita jadikan liga kita berperaturan, teratur dan profesional," katanya menerusi catatan di laman rasmi Facebooknya hari ini.

Sebelum ini, tersebar khabar angin mendakwa beberapa tonggak utama TRW dilaporkan akan meninggalkan pasukan tersebut pada jendela perpindahan pemain yang akan dibuka esok, selepas dilamar beberapa persatuan bola sepak negeri.

Antara pemain yang dikatakan bakal berpindah ke pasukan lain dan menjadi tumpuan media ketika ini ialah penyerang import TRW Mohammed Ghaddar, yang didakwa akan menyarung jersi pasukan Johor Darul Ta''zim (JDT).

Menyentuh mengenai perkembangan berkaitan Ghaddar, Annuar berkata pemain berasal dari Lubnan itu telah menjelaskan kedudukan sebenar beliau kepadanya.

"Nasihat saya mudah saja...kepada pemain (termasuk Ghaddar), jadi pemain profesional. Beritahu KAFA secara jujur dan patuhi kontrak. Jangan ikut pintu belakang," katanya.

-- BERNAMA