DOHA: Qatar merancang untuk memasang semula arca pemain bola sepak Perancis-Algeria, Zinedine Zidane dalam keadaan menanduk bola (headbutt) semasa perlawanan final Piala Dunia 2006.

Ia selepas arca itu dinyah bina pada 2003 susulan kritikan orang awam yang menyifatkan arca tersebut sebagai mempromosikan penyembahan berhala dan menggalakkan keganasan.

Kritkan terhadap arca gangsa berukuran 5 meter yang digelar 'Coup de Tête' dinyah bina beberapa hari selepas orang ramai di negara Islam itu tidak menyenangi pemasangan tersebut.

Menurut Pengerusi Muzium Qatar Sheikha al-Mayassa al-Thani, evolusi berlaku dalam kalangan masyarakat dan ia mnungkin mengambil masa bagi orang ramai untuk menerima pembentukan arca tersebut.

Sheikha al-Mayassa yang juga adik kepada Emir pemerintah Qatar, menjelaskan masyarakat ketika ini sudah mula memahami di sebalik pembentukan arca tersebut dan sudah biasa dengan keadaan itu.

Beliau berkata pemsangan di tapak asal di pinggir laut ibu negara itu sebelum ini adalah "tidak betul".

Ketika ini, arca itu akan dipasang semula di muzium sukan baharu di Doha, yang menganjurkan Piala Dunia bola sepak akhir tahun ini.

Arca yang dihasilkan oleh artis Perancis kelahiran Algeria, Adel Abdessemed itu menggambarkan detik masa tambahan pada perlawanan akhir Piala Dunia 2006 apabila Zidane menanduk pemain Itali, Marco Materazzi.

Zidane dikeluarkan dari padang dan Itali menewaskan Perancis menerusi sepakan penalti.

Sheikha al-Mayassa turut memaklumkan tujuan utama pemasangan semula arca tersebut adalah untuk memberi kesedaran awam berkenaan tekanan terhadap atlet dan kepentingan menangani isu kesihatan mental.