Astro Malaysia Holdings Bhd, kumpulan hiburan media pengguna bersepadu terkemuka Malaysia, telah memenangi tender bagi hak penyiaran Liga Perdana Inggeris (BPL) di Malaysia bagi tiga musim mulai 2013/14 hingga 2015/2016.

Sebagai sebahagian daripada persetujuan ini, kesemua 380 perlawanan BPL akan disiarkan secara langsung di Astro.

"Kami amat teruja untuk memperkukuhkan lagi penglibatan kami dengan liga bola sepak paling popular itu dengan membawakan tiga lagi aksi musim bola sepak dari BPL.

"Sejak 1997, Astro telah menyiarkan aksi BPL sebagai sebahagian daripada persembahan menyeluruh program bola sepak bagi peminat bola sepak Malaysia.

"Sekarang, dengan 'Astro On the Go', mereka boleh menikmati acara sukan terbaik melalui peranti mudah alih mereka di mana sahaja mereka berada, serta menikmatinya dalam keselesaan di rumah mereka," kata Ketua Pegawai Eksekutif Astro Malaysia Holdings, Datuk Rohana Rozhan.