Sesudah kehilangan 25 pingat emas sebelum bermula Sukan SEA Myanmar 2013 pada Disember, atlet negara ditagih menampilkan prestasi terpuji bagi memastikan pingat emas diraih dalam acara lain dan sasaran pingat pada temasya itu tetap tercapai.

Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin berkata mahu tidak mahu atlet negara perlu menepati sasaran yang bakal ditetapkan itu berikutan beberapa acara yang menjadi lubuk emas negara tidak dipertandingkan pada temasya edisi ke-27 itu.

"Kita tidak mahu beri apa-apa alasan (jika pungutan pingat emas kurang) tetapi peminat sukan tanah air perlu tahu seperti yang disebut, 25 pingat emas yang kita raih pada Sukan SEA lepas, acara itu tidak dipertandingkan kali ini.

"Saya harap peminat sukan tanah air memahami situasi ini, namun saya mengharapkan atlet negara dapat mempamerkan prestasi terbaik dan tidak mengecewakan mereka (peminat) dengan memungut seberapa banyak pingat," katanya dalam temu bual eksklusif dengan Bernama di pejabatnya, di sini.

Acara yang banyak menyumbangkan pingat emas kepada negara seperti berbasikal trek, tenpin boling, renang berirama dan luncur air pada Sukan SEA Indonesia 2011, digugurkan oleh tuan rumah pada edisi kali ini.

Khairy berkata pada temasya kali ini beberapa sukan teras tidak dipertandingkan sebaliknya digantikan dengan acara sukan tradisional yang memberi kelebihan kepada tuan rumah.

Edisi ke-27 Sukan SEA Myanmar dari 11-22 Dis, akan berlangsung di beberapa lokasi di Nay Pyi Taw, Yangon, Mandalay serta pantai Ngwe Saung.

Malaysia tidak akan menyertai empat daripada 33 acara yang bakal dipertandingkan pada temasya berkenaan iaitu gusti, perlumbaan bot tradisional serta dua sukan mempertahan diri - kempo dan vovinam.

Kontinjen Malaysia akan mengambil bahagian dalam acara renang, olahraga, memanah, badminton, bola keranjang, biliard dan snuker, tinju, berkanu, berbasikal, ekuestrian, bola sepak termasuk futsal, golf, hoki dan judo.

Acara lain ialah karate, mendayung, sepak takraw termasuk chinlone, pelayaran, menembak, ping pong, taekwondo, bola tampar, wushu, bina badan, catur, muay, pencak silat, angkat berat dan petanque.

Pada edisi ke-26 di Indonesia, Malaysia menamatkan cabaran di tempat keempat selepas meraih 59 pingat emas, 50 perak dan 82 gangsa.