Angkatan Tentera Malaysia ATM menjulang trofi pertama musim 2013 selepas menewaskan Kelantan 4-3 menerusi penentuan sepakan penalti dalam perlawanan bola sepak merebut Piala Sumbangsih.

Ia selepas kedua-dua pasukan terikat satu sama, tamat 90 minit permainan dalam perlawanan yang berlangsung di Stadium Shah Alam, malam tadi.

Pertemuan ini ibarat ulangan akhir Piala Malaysia, tahun lalu yang menyaksikan kemenangan 3-2 memihak Kelantan.

Disaksikan 40 ribu penyokong, aksi babak pertama berlangsung hambar apabila tiada percubaan bahaya terhasil.

Memperkemaskan rentak permainan pada babak berikutnya, Kelantan akhirnya memecah kebuntuan jaringan menerusi Indra Putra Mahyudin, pada minit ke-55.

Selang enam minit, The Red Warriors berjaya menambah jaringan menerusi penyerang import Keita Mandjou, namun ia dibatalkan kerana ofsaid.

Dan ketika trofi kejuaraan hampir pasti milik Kelantan, pemain pertahanan Irwan Fadli Idrus muncul wira The Gladiators dengan meledak gol penyamaan, lima minit sebelum wisel penamat.

Tiada tambahan masa, perlawanan kemudiannya terpaksa ditentukan menerusi sepakan penalti.

Barisan ATM nyata lebih unggul apabila empat pemainnya iaitu Marlon Alex James, K. Reuben, Rezal Zambri Yahya dan Bruno Sebastien Martelotto cemerlang dalam sepakan masing-masing.

Manakala, pemain Kelantan Rizal Fahmi Rosid dan Daudsu Jamaluddin gagal menyempurnakan peluang sekaligus membolehkan ATM merangkul trofi kejohanan buat kali pertama.