PELARI pecut negara, Muhammad Azeem Mohd Fahmi terus menampilkan prestasi terbaik apabila memecahkan rekod kebangsaan yang juga rekod miliknya sendiri dalam acara pecut 60 meter (m) lelaki dalam dewan pada kejohanan Tiger Paw Invitational, South Carolina pada Sabtu.

Atlet berusia 18 tahun yang mewakili Universiti Auburn, berjaya mencatat 6.62 saat (s) untuk memadamkan rekod 6.63s yang dilakukannya pada kejohanan 2023 Texas Tech Open, 28 Januari lalu.

Rekod kebangsaan sebelum ini dipegang pemenang pingat perak Kejohanan Asia 1998, Watson Nyambek yang mencatat 6.66s pada Kejohanan Dunia 1999 di Maebashi, Jepun.

Dalam kejohanan di South Carolina itu, Muhammad Azeem yang beraksi dalam acara final mengakhiri saingan di kedudukan kelima.

Trayvon Bromell menduduki tempat pertama dengan catatan masa 6.42s, Marcellus Moore kedua dengan 6.52s dan Sterling Warner-Savage berada di kedudukan ketiga dengan masa 6.59s.

Muhammad Azeem, yang juga pemegang rekod kebangsaan acara 100m dengan catatan 10.09s, tiba di Universiti Auburn di Alabama pada 4 Januari, untuk melanjutkan pelajaran sambil menjalani latihan di sana. - Sinar Harian