KUALA LUMPUR:Penyerang pasukan kebangsaan dan Selangor era 90-an Azman Adnan mencadangkan agar lebih ramai pemain muda tempatan, menanam keazaman untuk beraksi di luar negara sekali gus dapat meningkatkan prestasi skuad kebangsaan, di peringkat antarabangsa.

Bekas penyerang prolifik itu mengambil contoh jumlah pemain kebangsaan Jepun dan Korea Selatan, yang berjaya menembusi kancah liga utama Eropah, dan seterusnya pengalaman itu digunakan bagi membantu meningkatkan mutu permainan pasukan kebangsaan masing-masing, di pentas tertinggi dunia.

"Jadi kita cuba ambil satu langkah ke hadapan. Jika ada pemain kita berbakat, hantar (ke luar negara) kenapa tidak mencuba? Belum cuba belum tahu. Apa yang penting kita mencuba, sentiasa positif.

"Kita dapat lihat macam pasukan Jepun, berapa ramai pemain mereka beraksi di luar negara? Pemain (kebangsaan) Korea Selatan? Lagi ramai pemain muda bermain di Eropah, lagi bagus untuk pasukan kebangsaan," katanya kepada pemberita, pada majlis pelancaran jenama produk pakaian Azman Adnan di sini, semalam.

Ketika ini, hanya dua pemain muda negara penyerang Luqman Hakim Shamsudin, 19, dan Muhammad Safawi Rasid, 23, berjaya melebarkan sayap ke liga utama Eropah, sementara beberapa lagi pemain tempatan beraksi di liga negara Asia antaranya Jepun dan Thailand.

Luqman Hakim yang juga tonggak skuad Bawah 19 Tahun (B-19) negara, mencipta sejarah menjadi pemain Malaysia pertama membuat penampilan di pentas liga utama Eropah, selepas menandatangani kontrak profesional lima tahun bersama kelab Belgium KV Kortrijk, pada Ogos lepas.

Sementara, Muhammad Safawi yang beraksi di posisi sayap untuk pasukan juara Liga Super 2020 Johor Darul Ta'zim (JDT), melengkapkan perpindahannya secara pinjaman ke pasukan liga utama Portugal, Portimonense SC pada Oktober lepas.

Azman, 49, berkata impak penglibatan pemain muda di luar negara kepada skuad kebangsaan itu akan lebih jelas, jika separuh daripada skuad dibarisi pemain bermain di luar negara.

"Bayangkan kalau ada lapan pemain negara beraksi di luar negara dan bila mereka balik (bermain dalam skuad kebangsaan), dengan pengalaman berbeza daripada apa di Liga-M (Liga-Malaysia)," katanya.

Malah, bekas ketua jurulatih pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) itu berkata, suasana serta pengalaman berbeza beraksi di luar negara, akan lebih mematangkan seseorang pemain.

-- BERNAMA