KUALA LUMPUR: Pasangan beregu wanita utama negara, Pearly Tan-M.Thinaah kini menghampiri untuk memenangi gelaran pertama mereka tahun ini, selepas layak ke final Terbuka Hong Kong 2023, esok.

Pada perlawanan separuh akhir di Coliseum Hong Kong, Kowloon, Pearly-Thinaah mempamerkan permainan sebenar mereka sejak awal permainan, untuk menewaskan pasangan Thailand Benyapa Aimsaard-Nuntakarn Aimsaard, 21-13, 21-18, dalam masa 36 minit.

Kemenangan ini bermakna pasangan Malaysia itu merekodkan kemenangan kedua mereka ke atas pasangan adik beradik Aimsaard itu, selepas pasangan nombor 10 dunia itu menewaskan lawan mereka itu 21-19, 21-17 pada pusingan pertama Terbuka Thailand 2020.

Pearly-Thinaah akan beraksi dalam perlawanan akhir kedua mereka musim ini, selepas mereka tewas dalam perlawanan akhir Masters Malaysia 2023 kepada pasangan Korea Selatan Baek Ha Na-Lee So Hee 22-20, 8-21, 21-17, Mei lepas.

Kali terakhir pasangan pilihan keenam kejohanan itu menjadi juara ialah pada Terbuka Perancis 2022, Oktober tahun lepas dengan mengejutkan juara dunia dua kali Mayu Matsumoto-Wakana Nagahara dari Jepun, 21-19, 18-21, 21-15.

Pearly-Thinaah akan berhadapan pemenang kepada satu lagi perlawanan separuh akhir iaitu sama ada pasangan pilihan ke tujuh dari Indonesia Apriyani Rahayu-Siti Fadia Silva Ramadhanti atau pasangan dari Denmark Maiken Fruergaard-Sara Thygesen.

Sementara itu cabaran bekas juara dunia remaja wanita Goh Jin Wei pula terkandas, selepas tewas kepada Zhang Yi Man dari China, 14-21, 11-21, dalam masa 29 minit.

Ini merupakan kekalahan pertama Jin Wei kepada pemain China itu, selepas menang tiga kali sejak mereka mula bertemu pada pusingan kedua Masters Korea 2018, dengan pemain persendirian itu menang 21-16, 21-15.

-- BERNAMA