KUALA LUMPUR: Susulan prestasi tidak konsisten sepanjang tahun ini, Persatuan Badminton Malaysia (BAM) memutuskan untuk memperkemaskan struktur kejurulatihannya serta-merta dengan Kejohanan Piala Thomas 2022 pada Mei ini sebagai matlamat utama.

Pengerusi Jawatankuasa Kejurulatihan dan Latihan BAM Datuk Kenny Goh berkata, di bawah struktur baharu, hanya ada dua jabatan - perseorangan elit dan beregu elit yang "langsing dan lasak" di dalam badan pentadbir sukan badminton negara itu.

Pengarah Kejurulatihan Wong Choong Hann akan berkhidmat sebagai pengarah kejurulatihan perseorangan mengetuai jurulatih perseorangan, pemain elit dan pemain sandaran dan sama juga kepada Timbalan Pengarah Kejurulatihan yang baharu dilantik Rexy Mainaky sebagai pengarah kejurulatihan jabatan beregu.

Pasa masa ini, setiap lima jabatan - perseorangan lelaki, perseorangan perempuan, beregu lelaki, beregu wanita dan beregu campuran -- masing-masing mempunyai ketua jurulatih dan jurulatih masing-masing, melapor kepada Choong Hann yang jawatankuasa itu merasakan terlalu banyak lapisan perlu dilalui.

"Kami mendengar laporan daripada ketua-ketua jurulatih mengenai kejohanan yang diadakan beberapa bulan ini, terutamanya di Eropah dan Bali. Kami membuat keputusan ini selepas melakukan analisis SWOT yang menyeluruh untuk mengetahui kekuatan (S), kelemahan (W), peluang (O) dan ancaman (T) daripada badminton dunia.

"Sebelum ini kami mempunyai terlalu banyak peringkat, jurulatih pergi kepada ketua jurulatih, kemudian dia pergi kepada pengarah kejurulatihan tetapi sekarang kedua-dua pengarah kejurulatihan ini akan melihat keseluruhan struktur dan mereka akan merancang dan memutuskan siapa akan menjadi jurulatih siapa, membuat penilaian ke atas jurulatih dan pemain," katanya dalam satu sidang media di Akademi Badminton Malaysia (ABM) di sini selepas mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa itu secara maya semalam.

Kenny yang juga Setiausaha Agung BAM berkata dengan pendekatan baharu ini pengarah kejurulatihan akan dapat lebih menumpukan kepada jabatan masing-masing dan apabila timbul masalah mereka boleh melihatnya secara terus untuk penyelesaian yang lebih pantas.

"Kami tidak hanya sekadar berubah. Kami telah melakukan analisis SWOT, kami telah melihat cabaran di hadapan kami dan merasakan pengstrukturan semula ini akan membantu mencapai matlamat kami... tiada jaminan (ia akan berjaya) tetapi kami mahu berubah kerana tiada perubahan akan menjadikannya lebih buruk.

Kami juga akan ada lebih komunikasi antara setiap jabatan selepas ini . Sebagai contoh apabila Choong Hann mereasakan pemain perseorangan perlukan sesi sparing dengan beregu, kami boleh melihat keperluannya untuk kebaikan skuad kebangsaan," katanya.

Kenny yang bersetuju prestasi pasukan negara seharusnya bertambah baik tahun ini berkata 2022 adalah tahun yang mencabar dengan Sukan SEA, final Piala Thomas dan Uber, Sukan Komanwel Birmingham dan Sukan Asia Hangzhou sedia menanti sebagai penanda aras mencapai matlamat Projek 24 BAM dengan satu objektif utama memenangi pingat emas sulung negara di Olimpik Paris 2024.

Beliau berkata satu daripada penanda aras 2022 ialah Piala Thomas dan persatuan itu berharap skuad kebangsaan akan beraksi cemerlang setelah ia menetapkan sasaran akhir.

Sementara itu, Kenny juga mengumumkan penilaian prestasi tahunan telah ditangguhkan sehingga Januari selepas Rexy yang hanya melaporkan diri bertugas pada 1 Dis telah meminta masa untuk menilai pemain dan jurulatih.

Beliau berkata setiap orang daripada pengurusan, pengarah kejurulatihan, jurulatih dan pemain perlu bertanggungjawab terhadap keputusan yang dikehendaki dan tidak menolak kemungkinan beberapa orang daripada mereka mungkin tersingkir selepas penilaian.

-- BERNAMA