SHAH ALAM: Skuad wanita kebangsaan memulakan kempen Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) 2022 dengan bergaya selepas berjaya mengecewakan juara bertahan, Jepun, 2-3 dalam perlawanan Kumpulan Y di sini hari ini.

Malaysia yang ketinggalan dua perlawanan, meraih kemenangan menerusi aksi berani daripada pemain perseorangan wanita ketiga Siti Nurshuhaini Azman dan dua beregu Valeree Siow-Pearly Tan dan Anna Cheong-Teoh Mei Xing pada kejohanan yang diadakan di Pusat Konvensyen Setia City itu.

Pemain perseorangan negara S. Kisona yang berada pada kedudukan ke-64 dunia, tewas 12-21, 16-21 kepada pemain nombor 72 dunia, Natsuri Nidaira sebelum Jepun mendahului 2-0 apabila pemain nombor 181 dunia Riko Gunji menumpaskan pemenang pingat perak Kejohanan Junior Asia 2017, Eoon Qi Xuan 21-17, 21-7.

Bagaimanapun, kegembiraan negara matahari terbit itu mengecap kejayaan tidak berpanjangan apabila Siti Nurshuhaini, Valeree-Pearly dan Anna-Mei Xing kemudian menampilkan aksi berbisa.

Siti Nurshuhaini turun ke gelanggang untuk mengubah nasib Malaysia dengan mempamerkan semangat tinggi bagi meraih mata pertama negara setelah berjaya menundukkan Hina Akechi 21-16, 22-20.

Perlawanan itu menunjukkan ketabahan mental Siti Nurshuhaini yang berjaya melakar kemenangan terutama pada set kedua apabila beliau terpaksa mengekang kebangkitan Akechi.

Mengikut jejak Siti Nurshuhaini, Valeree-Pearly yang membuat gandingan baharu pada jam ke-11 selepas M. Thinaah disahkan positif COVID-19, berjaya menyamakan kedudukan 2-2, berikutan berjaya mengharungi perlawanan sukar ke atas Rui Hirokami-Yuna Kato.

Valeree-Pearly bergelut untuk mengatasi Rui-Yuna 22-20 pada set pertama sebelum menang 21-18 pada set kedua.

Kemenangan itu meningkatkan keyakinan Anna-Mei Xing untuk menempa kejayaan buat Malaysia.

Pada perlawanan terakhir malam ini, Anna-Mei Xing berkobar-kobar melancarkan serangan sejak awal permainan untuk menumpaskan pasangan Jepun Hina Akechi-Riko Gunji 21-12, 21-5 bagi meraih mata kemenangan.

Pasukan wanita negara berpeluang ke separuh akhir jika menewaskan India esok.

Sementara itu, skuad lelaki kebangsaan akan memulakan kempen menentang Singapura dalam aksi Kumpulan B esok.

Kedua-dua perlawanan pasukan lelaki dan wanita negara akan bermula pada 4 petang.

Dua pasukan teratas daripada setiap kumpulan akan layak ke separuh akhir dan secara automatik layak ke pusingan akhir Kejohanan Piala Thomas dan Uber yang akan berlangsung di Bangkok, Thailand pada Mei ini.

-- BERNAMA