KUALA LUMPUR: Penyertaan skuad lelaki kebangsaan dalam Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) di Shah Alam pada 15-20 Feb ini, dianggap gagal sekiranya tidak berjaya mara ke final, menurut pemain perseorangan utama negara, Lee Zii Jia.

Zii Jia yang menyasarkan pasukannya menjadi juara kejohanan itu berkata Malaysia perlu memanfaatkan kelebihan yang ada memandangkan terdapat beberapa pasukan yang kuat tidak menghantar pemain utama mereka dalam saingan berlangsung di Pusat Konvensyen Setia City.

"Saya bukan nak bagi tekanan namun kebanyakan pasukan lain hantar barisan kedua pemain, sudah tentu bagi saya mahu juara atau sekurang-kurangnya ke final.

"Kalau tak ke final bermakna kita gagal, saya juga gagal, sebab barisan pemain kita paling kuat," katanya kepada pemberita selepas menjalani sesi latihan di Akademi Badminton Malaysia, Bukit Kiara menjelang BATC, hari ini.

Skuad lelaki diundi dalam Kumpulan B bersama Jepun, Singapura dan Kazakhstan sekali gus mengelak dari bertemu juara tiga kali Indonesia (2016, 2018, 2020), India, Korea Selatan dan Hong Kong yang diundi dalam Kumpulan A.

Difahamkan pemain nombor dua dunia pada ketika ini, Kento Momota dan pasangan beregu lelaki nombor empat dunia Takuro Hoki-Yugo Kobayashi dari Jepun, selain beberapa pemain utama Indonesia seperti Anthony Sinisuka Ginting, Jonatan Christie dan Marcus Fernaldi Gideon-Kevin Sanjaya Sukamuljo, tidak akan menyertai kejohanan itu.

Pasukan seperti China, Thailand dan Taiwan tidak akan menyertai edisi kali ini, dan format kejohanan telah diubah dengan tiada peringkat suku akhir.

Mengulas mengenai perlawanan tumpuan antara beliau dan Loh Kean Yew dari Singapura, Zii Jia berkata sudah bersedia untuk bertarung dengan juara dunia 2021 dalam pertemuan yang disifatkannya sangat penting baginya untuk menyumbang mata pertama buat Malaysia menentang pasukan dari negara republik dalam Kumpulan B nanti.

Selain Zii Jia, lima lagi pemain iaitu Ng Tze Yong, Aidil Sholeh Ali Sadikin, Leong Jun Hao, Lim Chong King dan Jacky Kok Jing Hong melengkapkan barisan perseorangan lelaki negara untuk kejohanan dwitahunan itu.

Pemenang pingat gangsa Olimpik Tokyo 2020 Aaron Chia-Soh Wooi Yik pula akan mengetuai gandingan Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani dan Man Wei Chong-Tee Kai Wun untuk beregu lelaki.

Pasukan wanita pula terdiri daripada Eoon Qi Xuan, S Kisona, Tan Zhing Yi, Siti Nurshuhaini Azman, Myisha Mohd Khairul bagi kategori perseorangan, manakala beregu diwakili Pearly Tan-M. Thinaah, Teoh Mei Xing-Anna Cheong, Valeree Siow-Low Yeen Yuan dan Go Pei Kee.

Walaupun Malaysia mempunyai peluang tinggi untuk bergelar juara BATC kali ini, namun Aaron pula mengingatkan rakan sepasukannya agar tidak terlalu yakin dengan ketiadaan beberapa bintang ternama dari negara lain dan menuntut pemain negara untuk berjuang habis-habisan dalam setiap perlawanan pada kejohanan itu.

Beliau juga merasakan kehadiran semula Zii Jia, yang mencari 'angin baharu' dengan bergerak secara profesional baru-baru ini, ke dalam pasukan lelaki pada BATC kali ini jelas menyuntik semangat mereka untuk memberikan persembahan terbaik di laman sendiri nanti.

Bagi Nur Izzuddin, pemain berusia 25 tahun dari Muar itu berkata tidak berasa tertekan namun kelebihan beraksi di hadapan penyokong sendiri ternyata menaikkan semangatnya untuk membantu pasukan mara ke final.

Sementara itu, Thinaah pula berharap rakan sepasukan dalam pasukan wanita negara mampu mengharungi perlawanan demi perlawanan disertai dengan baik manakala Qi Xuan pula menganggap peluang agak seimbang bagi Malaysia untuk mara ke separuh akhir biarpun bakal meniti laluan sukar dalam peringkat kumpulan.

Dalam undian wanita, juara bertahan Jepun dan India, menanti Malaysia dalam kumpulan Y, manakala Kumpulan Z pula terdiri daripada Korea Selatan, Indonesia, Hong Kong dan Kazakhstan.

Dua pasukan terbaik dari setiap kumpulan akan layak ke separuh akhir dan layak secara automatik ke Piala Thomas dan Uber yang akan berlangsung di Bangkok, Thailand, Mei ini.

-- BERNAMA