Bayern Munich kecewa hanya menumbangkan Barcelona 3-0 di Camp Nou apabila sekali lagi membuktikan terlalu mantap buat seteru Liga Juara-Juara (UCL) itu.
Mereka bertemu buat pertama kalinya sejak kejayaan 8-2 memihak Bayern dalam kemenangan suku akhir 13 bulan lalu.
Kali ini jaringannya tidak begitu besar sungguhpun gergasi Bundesliga itu mendominasi pertemuan awal pagi tadi.
Pasukan Barca bimbingan Ronald Koeman itu gagal melancarkan sebarang percubaan tepat untuk julung kalinya dalam UCL sejak rekod Opta diperkenalkan pada 2003-04.
Bayern yang diketuai Thomas Muller dan Robert Lewandowski jelas bermaharajalela dalam pertembungan kali ini.
Lewandowski meledak dua gol selepas Muller membuka tirai jaringan untuk mengekalkan rekod luar biasanya menentang Barca dengan menghasilkan tujuh gol daripada enam perlawanan.
Tiada pemain lain dalam sejarah UCL yang memiliki jumlah sebegitu ketika menentang Barca sambil Andriy Shevchenko pernah melakukannya lima kali.
"Kami tidak memberikan banyak ruang di bahagian pertahanan kami dan di jentera serangan pula, kami sepatutnya menokok satu atau dua gol lagi," kata Muller kepada Amazon.
"Beraksi di sini memang menyeronokkan, kami menikmatinya. Sekiranya anda menang 3-0 di sini, ia adalah satu isyarat yang sangat penting. Kami sangat gembira."
Muller diminta untuk menjelaskan mengapa dia menjaringkan gol begitu kerap ketika menentang Barca dengan catatan satu gol dalam setiap 73 minit dengan menyempurnakan tujuh peluang daripada 16 percubaan.
"Ini kerana Barcelona adalah pasukan yang cenderung bermain secara terbuka dan selaku penyerang, saya mempunyai lebih banyak ruang ketika berdepan pertahanan mereka," katanya.
"Tetapi anda boleh mengatakan bahawa saya memang gemar menjaringkan gol ke atas Barca."
Muller tidak bersendirian menikmati perlawanan itu apabila menjadi salah seorang daripada sembilan rakan sepasukannya untuk berkongsi 17 percubaan antara mereka.
Bintang tengah, Joshua Kimmich, yang sempat membuat satu percubaan selain mencipta tiga peluang gol berkata: "Kami tidak menghadapi perlawanan dengan mudah. Semakin lama permainan ini berlangsung, semakin banyak kami dapat mengawalnya.
"Kami gembira dapat menjadikannya 1-0 kerana agak beruntung. Begitupun, kami adalah pasukan yang lebih baik dalam separuh masa pertama. Kami patut menang lebih besar lagi.
"Kami menggerakkan bola dengan baik di sebalik kami masih melakukan beberapa kesilapan sederhana. Apapun kami tetap berpuas hati."