WALAUPUN sudah bersara sejak lebih enam tahun lalu, David Beckham masih lagi antara individu paling dikenali di dunia.

Bekas kapten England berusia 43 tahun itu menikmati karier bergemerlapan dalam bola sepak, memenangi gelaran utama bersama Manchester United, Real Madrid, Los Angeles Galaxy dan akhir sekali Paris Saint-Germain.

Namun Beckham ialah seorang yang mengatasi kebiasaan dalam sukan itu. Perihalnya bukan setakat diketahui oleh golongan yang meminati bola sepak, tetapi seluruh dunia.

Terbaharu, Manchester United berjaya memujuk Beckham untuk kembali menyarung jersi merah keramat pada 26 Mei ini di Old Trafford untuk perlawanan ‘reunion’ final Liga Juara-Juara Eropah 1999 menentang Bayern Munich.

Nampaknya Red Devils tidak berdepan masalah untuk memenuhkan stadium untuk acara itu nanti.

Mana tidaknya, Beckham juga akan kembali bergandingan dengan Paul Scholes, Nicky Butt dan Jesper Blomqvist di bahagian tengah pada ulang tahun ke-20 perlawanan asal yang berlangsung di Nou Camp, Barcelona.

Scholes, yang meletakkan jawatan pengurus Oldham Athletic hanya selepas 31 hari mengendali kelab Liga Dua itu pada Khamis, bagaimanapun tidak beraksi pada final 1999 itu kerana penggantungan, namun dia akan mengambil tempat Ryan Giggs.

Mereka akan disatukan semula dengan barisan penuh pertahanan asal, termasuk Gary dan Phil Neville, Jaap Stam dan Denis Irwin, dengan Peter Schmeichel akan kembali mengawal gawang.

United akan diuruskan oleh tidak lain dan tidak bukan sang legenda Sir Alex Ferguson yang kini sudah pulih daripada pendarahan otak pada Mei lepas.

Tahun 1999 merupakan tahun gemilang buat United atas kejayaan menjulang gelaran 'treble'.

“Saya sangat teruja untuk kembali ke Old Trafford.

“1999 adalah tahun yang hebat untuk kami, jadi untuk mencipta semula detik itu pastinya menjadi suatu yang sangat istimewa.

“Untuk kembali bersama sebagai satu pasukan dan sekali lagi diuruskan oleh ‘the boss’ adalah hebat. Saya tak sabar,” Beckham dipetik sebagai berkata oleh BBC Sport.

Beckham memainkan peranan penting dalam ‘comeback’ United yang termasyhur 20 tahun lepas. Sepakan penjurunya membawa kepada gol penyamaan Teddy Sheringham.

Dari sisi yang sama, beberapa minit kemudian, sekali lagi sepakan penjurunya mencipta gol untuk Ole Gunnar Solksjaer yang dianggap gol paling ikonik dalam sejarah United.

Tanpa Beckham, United mungkin tidak akan menjulang gelaran Eropah kedua mereka pada malam itu.