Peminat bola sepak tempatan bepeluang menyaksikan kehebatan legenda kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) menerusi Kejohanan Piala Malaysia EPL Standard Chartered 2013 di Stadium Putra, Bukit Jalil, di sini, pada 21 April ini.

Kejohanan edisi kelima itu menjanjikan aksi lebih menarik dengan penyertaan bekas bintang EPL yang mewakili empat pasukan iaitu Liverpool, Manchester United, EPL All-Stars dan Legenda Malaysia.

Antara nama terbesar mewarnai pertandingan berkonsep futsal enam sebelah termasuk David James, Robbie Fowler, Steve McManaman dan Dietmar Hamann (Liverpool), Andy Cole, Lee Sharpe dan Ronnie Johnson (Manchester United) serta Dennis Wise, Franck Leboeuf dan Tore Andre Flo mewakili pasukan EPL All Stars.

Kejohanan itu ditaja bersama Standard Chartered Bank, Telekom Malaysia dan Kansai Paint dan dianjurkan oleh Football Focus Asia.

Pada majlis pelancaran kejohanan itu di sini Jumaat, Ketua Pegawai Pemasaran Football Focus Asia, Gavin O' Luanaigh berkata lebih banyak peluang disediakan untuk peminat mendekati dan mengenali bekas bintang EPL pada acara-acara sampingan semasa hujung minggu kejohanan itu.

"Berdasarkan kejayaan dan sambutan pada kejohanan sebelum ini, kami yakin lebih ramai peminat akan berkunjung ke stadium untuk melihat perlawanan menarik ini," katanya.

Beliau berkata 10 peminat bertuah juga akan mendapat peluang menyertai acara cabaran bola sepak untuk memenangi sebuah kereta jenis Chevrolet Sonic berharga hampir RM80,000.

Orang ramai boleh membeli tiket berharga RM18 untuk tempat duduk Kop/Stretford/Standard, RM38 (Pitchside) dan RM198 untuk kawasan VIP menerusi kaunter Redtix atau laman web Air Asia Redtix di www.redtix.airasia.com.

Pada edisi tahun lepas di Stadium Malawati, Shah Alam, Liverpool muncul juara selepas mengalahkan Manchester United Legends 5-4 menerusi sepakan penalti.