KUALA LUMPUR: Bekas pemain hoki kebangsaan K.Ponnudurai meninggal dunia pada usia 62 tahun, tengah hari Isnin.

Menurut bekas rakan sepasukannya Kevin Nunis, Ponnudurai meninggal dunia di rumahnya di Nilai, Negeri Sembilan, dua bulan selepas dibenarkan keluar daripada Hospital Putrajaya.

Kevin yang sedang bersedih memberitahu Bernama, Ponnudurai mempunyai sejarah kesihatan melibatkan dua serangan jantung dan strok

"Saya telah mengenali beliau sejak 1978.. lamalah.. sekitar 40 tahun. Beliau kawan baik saya, kami selalu berjumpa untuk sarapan pagi dan makan tengah hari," katanya.

Menurut Kevin, Ponnudurai memulakan kerjaya hokinya pada tahun 1975 dalam Liga Hoki Nasional sehingga 1980.

"Beliau bermain dalam Jelajah Eropah pada 1978 apabila kita bermain menentang Ireland, England dan Wales, dan saya bermain bersama beliau dalam kejohanan-kejohanan di Jerman, Singapura, India dan Pakistan dari 1978 hingga 1980," katanya.

Bagaimanapun, Ponnudurai tidak dapat mengikut Kevin dan rakan sepasukan lain apabila digugurkan daripada skuad Piala Dunia Remaja 1979 di Perancis pada saat akhir, kata Kevin.

Selepas majlis penghormatan terakhir di rumahnya di Nilai, mayat mendiang akan disempurnakan di Krematorium DBKL, Cheras, hari ini (1 Jun).

-- BERNAMA