IKON MotoGP, Valentino Rossi, mendedahkan dia tidak bercadang untuk bersara sebaliknya akan terus beraksi selagi dia mampu untuk mencabar kejuaraan di peringkat tertinggi.

Juara dunia tujuh kali itu menduduki tangga ketiga pada tahun ini namun hanya tujuh mata memisahkan pelumba berusia 38 tahun itu dengan pendahulu, Andrea Dovizioso, selepas menjuarai GP Assen di Belanda pada minggu lalu.

Biarpun kontraknya bersama Yamaha bakal tamat pada penghujung musim depan tetapi Rossi tetap menyasarkan untuk terus beraksi selepas itu.

“Apabila saya menandatangani kontrak, saya berasa seperti ia adalah yang terakhir tetapi tidak begitu pasti.

“Ia bergantung kepada banyak faktor dan saya akan membuat keputusan pada awal musim depan,” kata Rossi.

Rossi yang kini dalam tempoh persiapan bagi menghadapi GP Jerman hujung minggu ini turut tidak menafikan dirinya sukar untuk meninggalkan sukan yang sudah diceburi sejak 17 tahun lalu.

“Jika anda meraih keputusan yang baik, segalanya akan jadi lebih mudah.

“Keghairahan saya terhadap sukan ini tiada tolok bandingnya,” tambah Rossi.