Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah mahu FAM mengkaji semula sama ada perlu atau tidak mengembalikan sentuhan jurulatih luar untuk mengemudi skuad kebangsaan.

Menurut laporan akhbar Utusan, Tengku Abdullah mengakui jika melihat prestasi Dollah dari aspek merit, sememangnya tidak mencapai standard yang telah ditetapkan.

Justeru, FAM diminta mengkaji semula keberkesanan Dollah Salleh selaku pengendali skuad kebangsaan dalam memimpin Harimau Malaya.

Walaupun Dollah kelihatan bakal mengekalkan jawatannya namun segalanya mungkin berubah jika Tengku Abdullah berkata sebaliknya.

Skuad kebangsaan menerima kritikan hebat dari peminat bola sepak tanah air selepas gagal mempamerkan aksi yang membanggakan selepas tewas 6-0 kepada Palestin sebelum mencatat keputusan seri 1-1 berdepan Timor Leste bagi aksi Kelayakan Piala Dunia 2018.

Ramai yang meluahkan rasa tidak puas hati terutama dilaman sosial dan meminta agar tindakan drastik diambil bagi mengubah situasi yang melanda bola sepak negara.

Beberapa hari yang lepas, FAM sekali lagi dipersalahkan apabila ranking terbaharu yang dikeluarkan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) menunjukan bahawa skuad negara kini menghuni tangga ke 168.