AL RAYYAN: Ketua jurulatih skuad Harimau Malaya, Kim Pan Gon mengambil sepenuhnya tanggungjawab di atas kegagalan Malaysia pada kempen Piala Asia 2023 selepas tewas 0-1 kepada Bahrain pada perlawanan kedua Kumpulan E di sini, malam tadi.

Kekalahan di Stadium Jassim bin Hamad itu menutup peluang Malaysia untuk melangkah ke pusingan 16 terbaik apabila merakam dua kekalahan berturut-turut selepas tumpas 0-4 kepada Jordan, Isnin lepas.

Jurulatih dari Korea Selatan berusia 54 tahun itu tidak menyalahkan sesiapa kecuali dirinya yang mempunyai jangkaan tinggi terhadap barisan pemain untuk cuba mencipta kejutan dan sejarah di sebalik realiti di atas kertas.

"Tiada apa yang salah, di sinilah kami berada, mungkin sebagai jurulatih saya silap. Saya mempunyai terlalu banyak jangkaan...memberi terlalu banyak impian kepada pemain saya kepada orang ramai (rakyat Malaysia), itu masalah saya.

"Tiada apa-apa (salah) daripada FA (Persatuan Bolasepak Malaysia), daripada pemain atau orang ramai, ini masalah jurulatih," katanya pada sidang media selepas perlawanan di sini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya di mana silapnya selepas Malaysia menikmati rekod prestasi memberangsangkan menjelang kempen di sini, selain membuat persiapan rapi dengan menjalani kem latihan pusat selama tiga minggu termasuk dua minggu di Doha.

Mengulas mengenai perlawanan malam ini, Pan Gon merasakan Malaysia sekurang-kurangnya mampu mencatat keputusan seri, selain menganggap anak buahnya gagal untuk mendominasi permainan.

Namun, dari sudut positif beliau melihat penampilan Malaysia pada edisi kali ini memberi pengalaman berguna kepada pemain muda yang masih berpeluang beraksi pada edisi akan datang selepas ini.

Pemain tengah Ali Madan muncul wira Bahrain apabila menjaringkan gol kemenangan skuad Dilmun's Warriors bimbingan Juan Antonio Pizzi pada minit-minit akhir masa kecederaan separuh masa kedua yang menyaksikan penjaga gol Ahmad Syihan Hazmi Mohamed gagal menyelamatkan bola dari sudut yang mudah.

Kemenangan pertama dalam kempen itu menghidupkan peluang Bahrain untuk melangkah ke pusingan 16 terbaik sekali gus menyamai pencapaian edisi 2019.

Malaysia akan melengkapkan baki saingan kumpulan bertemu juara dua kali Korea Selatan manakala Bahrain akan membuat perhitungan dengan Jordan, masing-masing pada Khamis ini.

-- BERNAMA