Dalang utama kegiatan mengatur keputusan perlawanan perlu ditangani dan dihukum bagi membanteras masalah itu secara keseluruhan, kata Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin.

Khairy berkata penahanan tiga pemain pasukan Majlis Sukan India Malaysia-Persatuan Bola Sepak India Malaysia (MISC-MIFA) adalah permulaaan untuk memburu sindiket itu.

"Saya harap tangkapan baru-baru ini akan berlanjutan sehingga sampai ke akar umbi kegiatan mengatur perlawanan. Pemain hanya agen sindiket haram. Biasanya sindiket ini ada kaitan dengan perjudian sukan tanpa lesen dan orang inilah yang perlu kita buru.

"Penyakit sebenar adalah sindiket yang menjadi dalang mengatur keputusan perlawanan...pemain harus dihukum jika terlibat tetapi apa yang kita mahu ia sebagai permulaan untuk mendapatkan sindiket itu sendiri," katanya.

Khairy berkata demikian kepada pemberita selepas majlis tajaan antara Jawatankuasa Pengelola Sukan SEA Malaysia (MASOC) dan AirAsia, di sini hari ini.

Minggu lepas, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan tiga pemain termasuk seorang pemain import pasukan MISC-MIFA, kerana disyaki terbabit dalam mengatur perlawanan.

Khairy juga menggesa lebih banyak persatuan bola sepak negeri dan kelab yang beraksi dalam Liga Malaysia menjalin kerjasama dengan polis dan SPRM untuk menangani isu itu dengan memaklumkan kepada pihak berkuasa jika mengesyaki pemain mereka.

Ditanya sama ada lesen pertaruhan sukan mampu mengatasi masalah mengatur perlawanan, Khairy berkata majoriti rakyat Malaysia menentang perkara itu apabila ia dibangkitkan pada 2003.

"Sudah pasti ada buruk dan baiknya jika memberi lesen pertaruhan sukan dari segi mengawal selia dan mendapat pendapatan daripada cukai tetapi majoriti rakyat Malaysia tidak menerima satu lagi bentuk perjudian di negara ini," katanya. - BERNAMA