PORTO: KAI Havert menjaringkan gol kemenangan buat Chelsea sekali gus menundukkan Manchester City 1-0 dalam aksi final Liga Juara-Juara, awal pagi Ahad.

Pemain muda Jerman itu berjaya mengelak penjaga gol City, Ederson sebelum meledak bola ke gawang gol pada minit ke-42.

Juara Liga Perdana, City sebelum ini merupakan pasukan pilihan menjelang final, namun The Citizens terpaksa akur kepada The Blues di Porto.

Pasukan bimbingan Pep Guardiola tidak mampu mematahkan disiplin yang dipamerkan anak buah Thomas Tuchel hingga ke wisel penamat.

City bekerja keras selepas rehat untuk mencari gol penyamaan namun nasib tidak menyebelahi mereka apabila Kevin de Bruyne terpaksa dibawa keluar padang akibat kecederaan.

Chelsea terpaksa bertahan selama tujuh minit ketika masa tambahan sebelum peminat The Blues dapat meraikan kemenangan itu.