CHELSEA sudah terlalu jauh untuk dikejar, ujar pengendali Manchester City, Pep Guardiola setelah menyaksikan pasukannya dibelasah Everton 4-0.

City gagal menyaingi Everton di Goodison Park pada Ahad sekali gus meletakkan mereka kini di tempat kelima -- 10 mata di belakang Chelsea selepas 21 perlawanan.

Kini kemampuan skuad kendalian Pep Guardiola untuk cuba layak ke Liga Juara-Juara Eropah juga semakin samar meskipun berkata bahawa perlawanan seterusnya berdepan Tottenham Hotspur merupakan peluang terbaik untuk kembali bangkit.

"10 mata adalah banyak," katanya ketika sesi sidang media sebaik tamat perlawanan di Goodison Park.

"Jarak kami dengan Tottenham hanya tiga mata jadi kita perlu tunggu dan lihat.

"Saya telah bercakap dengan pemain saya dalam tempoh sebulan ini iaitu untuk melupakan kedudukan kami -- fokus dalam perlawanan seterusnya dan cuba untuk melakukan yang terbaik.

"Selepas itu, di penghujung musim kami akan menilai tahap sebenar pasukan ini daripada aspek persembahan, permainan, jurulatih dan pemain. Selepas itu barulah kita membuat keputusan."

Penjaga gol City, Claudio Bravo sekali lagi dikecam susulan membenarkan kesemua empat-empat percubaan tepat Everton memasuki gawangnya.

Bagaimanapun, Guardiola menegaskan bahawa kegagalan memburu gol di samping gagal memastikan gawang dibolosi adalah tanggungjawab yang harus dipikul setiap pemain.

"Ini adalah kali pertama saya dibolosi sebanyak ini. Ia tidak pernah berlaku dan untuk itu saya mahu mencari sebab,"ujar bekas pengendali Barcelona dan Bayern Munich itu.

"Untuk mengawal permainan, bermakna menguasai hantaran bola.

"Saya tahu ramai pihak yang tidak bersetuju dengan cadangan ini tetapi mengawal bola bermakna kamu akan mencipta peluang menjaringkan gol dan memastikan gawang gagal dibolosi pihak lawan," jelasnya.