Kenaikan harga tiket untuk aksi persahabatan antarabangsa tier satu antara Malaysia dan Jordan di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada Jumaat ini tidak seharusnya dijadikan alasan oleh penyokong tempatan untuk tidak memberi sokongan padu kepada skuad negara.

Ketua jurulatih skuad bola sepak kebangsaan, Tan Cheng Hoe menjelaskan kebanjiran "pemain ke-12" bakal menyemarakkan semangat pemain skuad Harimau Malaya untuk memburu kemenangan ke atas Jordan, sebelum berdepan Indonesia pada aksi pembukaan Kumpulan G pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Stadium Gelora Bung Karno, Jakarta pada 5 September ini.

"Setiap kali, pasukan Harimau Malaya turun beraksi di Stadium Nasional Bukit Jalil, ia memberi satu motivasi tambahan kepada pemain untuk berusaha memberi persembahan terbaik menerusi kehadiran penyokong yang agak ramai.

"Dengan sambutan Hari Kebangsaan semakin hampir, kita harap Stadium Nasional akan dipenuhi oleh peminat bola sepak negara," katanya ketika ditemui pemberita sebelum bermulanya sesi latihan hari ketiga pusat skuad kebangsaan di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras, di sini, malam ini.

Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dalam laman Facebooknya, Ahad lalu memaklumkan tiket perlawanan Malaysia dan Jordan akan dijual secara dalam talian di laman sesawang;www.tickethotline.com.my, dengan tiket harga dewasa bagi tempat duduk utama (grandstand) ditetapkan pada kadar RM40 dan RM20 bagi tempat duduk terbuka, manakala golongan kanak-kanak berusia tujuh sehingga 12 tahun dikenakan pada kadar RM5.

Sebagai perbandingan, harga sekeping tiket Grandstand adalah RM40 dan apabila dikenakan caj tambahan seperti yuran pemprosesan, harga yang perlu dibayar oleh pembeli adalah sebanyak RM45.32 iaitu 13.3 peratus lebih tinggi dari harga asal.

Dalam pada itu, Cheng Hoe berpuashati dengan komitmen yang dipamerkan beberapa pemain muda yang dipanggil pada sesi latihan pusat kali ini, sambil menjelaskan beliau berharap pemain sayap Pahang, Mohamadou Sumareh dapat kembali pulih sebelum skuad negara turun berdepan Jordan nanti.

Sumareh menjalani latihan ringan sejak hari pertama sesi latihan pusat skuad Harimau Malaya, Ahad lepas susulan kecederaan hamstring yang dialaminya sebelum ini.

Selepas menentang Indonesia, Malaysia bakal melayan kunjungan Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada aksi kedua Kumpulan G di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 10 September ini.

Selain Indonesia dan UAE, Malaysia turut diletakkan dalam Kumpulan G bersama dua pasukan ASEAN iaitu Indonesia dan Thailand pada pusingan kelayakan kedua Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023.

-- BERNAMA