ANUGERAH pemain terbaik perlawanan diraih penjaga gol Real Madrid, Thibaut Courtois disifatkan penghormatan tertinggi selepas menampilkan aksi menakjubkan dalam perlawanan akhir Liga Juara-Juara menentang Liverpool di Stade de France, Paris pada Ahad.

Malah menurut pemain berusia 30 tahun itu, anugerah tersebut juga merupakan peningkatan kariernya selepas membantu juara La Liga berkenaan merangkul kejuaraan ke-14 yang berstatus Raja Eropah tersebut.

“Sejujurnya saya sememangnya perlu memenangi perlawanan akhir untuk karier seterusnya sebagai satu penghormatan kepada diri ini.

"Saya gembira dan bangga dengan prestasi Real Madrid yang pada awal musim bergelut dalam saingan domestik, namun pada penghujung meraih kejayaan menakjubkan.

"Kami menewaskan kelab terbaik dunia, Manchester City dan Liverpool yang sukar dipercayai musim ini.

Liverpool bermain hebat, namun kami mendapat peluang menghasilkan jaringan kemudiannya menterjemahkannya dalam bentuk gol," kata Courtois yang menafikan deretan percubaan lawan dalam perlawanan tersebut.

Untuk rekod, Real Madrid menewaskan Liverpool 1-0 dalam perlawanan akhir Liga Juara-Juara hasil jaringan Vinicius Junior, namun kecemerlangan Courtois menafikan deretan percubaan Liverpool ternyata membezakan keputusan keputusan akhir kedua-dua pasukan.

BACA: Liga Juara-Juara: Bukan Liverpool tidak bagus tapi Real Madrid lebih cemerlang

BACA: Final UCL: Liverpool terluka tapi akan kembali - Klopp

Courtois yang pernah menyarung jersi Chelsea dari 2011 hingga 2018 juga mengakui kejayaan menafikan percubaan penyerang Liverpool, Mohamed Salah pada awal perlawanan memberikannya keyakinan awal untuk mengharungi aksi 90 minit selepas itu.

"Sejujurnya musim yang cukup luar biasa, selepas bekerja keras mengharungi karier ini bertahun-tahun dinoktahkan dengan pencapaian bersama kelab idaman sejak kecil Real Madrid.

"Tiada siapa yang dapat menghilangkan hasrat saya untuk memenangi Liga Juara-Juara, apabila kami telah menunjukkan siapa Raja Eropah selepas melalui satu fasa kritikan ramai sebelum ini," katanya.


* Artikel asal di Sinar Harian