PERTEMBUNGAN Liga Perdana Inggeris (EPL) di antara Manchester United dengan Brentford pada awal pagi esok dalam keraguan selepas penularan COVID-19 memaksa kemudahan pusat latihan kelab itu ditutup.

Semalam, United mengesahkan Kompleks Latihan di Carrington akan ditutup selama 24 jam dalam usaha mengurangkan risiko sebarang jangkitan lagi selepas beberapa kakitangan dan pemain disahkan positif.

The Red Devils berkata perbincangan sedang berjalan dengan pihak penganjur sama ada perlawanan itu selamat untuk diteruskan di Stadium Community Brentford.

Satu kenyataan kelab itu berbunyi: "Manchester United mengesahkan ujian PCR menunjukkan kes positif COVID-19 dalam kalangan kakitangan dan pemain pasukan utama, kelmarin, dan keputusan telah diambil untuk menutup operasi pasukan utama di Kompleks Latihan Carrington selama 24 jam bagi meminimumkan risiko penularan.

"Individu yang diuji positif telah mengasingkan diri berdasarkan protokol Liga Perdana.
"Memandangkan penutupan tempat latihan dan skuad itu terganggu, selain kesihatan pemain dan kakitangan menjadi keutamaan, kelab sedang berbincang dengan Liga Perdana sama ada adakah selamat untuk perlawanan menentang Brentford diteruskan, baik daripada segi jangkitan COVID-19 mahupun pemain.

"Perjalanan pasukan dan kakitangan ke London akan ditangguhkan sementara menunggu keputusan perbincangan itu."
Terdahulu, perlawanan di antara Brighton & Hove Albion dan Tottenham terpaksa ditangguhkan selepas beberapa kes positif dalam kalangan pemain dan kakitangan di kelab London itu.
Dalam masa sama, Liga Perdana dijangka akan mengambil langkah drastik selepas rekod tertinggi jangkitan membabitkan pemain dan kakitangan pada minggu lalu.
Kancah itu merekodkan kes tertinggi dalam tempoh tujuh hari apabila 42 kes dilaporkan, sekali gus mengatasi angka tertinggi 40 orang yang dicatatkan pada Januari lalu.