Dari padang ke Palestin: Bintang bola dunia bersatu suarakan solidariti

Suara daripada padang bola ini menjadi simbol bahawa sukan juga mampu menjadi medium keberanian membawa mesej solidariti dan harapan buat Palestin di mata dunia. - Foto Astro AWANI
KETIKA dunia menumpukan perhatian kepada misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) konvoi kapal bantuan antarabangsa yang berusaha memecah sekatan laut Israel ke Gaza isu Palestin kembali mencuri perhatian global. Tindakan tentera Israel menyekat flotilla dan meneruskan serangan ke atas Gaza mengundang kecaman meluas, termasuk daripada komuniti bola sepak antarabangsa.
Beberapa bintang bola sepak terkenal tampil menyuarakan solidariti terhadap rakyat Palestin melalui media sosial dan tindakan simbolik di atas padang. Antara yang paling lantang ialah Mohamed Salah, yang baru-baru ini menegur UEFA kerana gagal memberi penghormatan wajar kepada legenda Palestin, Suleiman al-Obeid, sambil menyeru agar bantuan kemanusiaan segera dibenarkan masuk ke Gaza.
Karim Benzema pula menulis di media sosial: “All our prayers go out to the people of Gaza,” sebagai tanda simpati terhadap mangsa di sana. Rakan senegaranya, Paul Pogba, turut memuat naik tanda pagar #PrayForPalestine, manakala trio Maghribi Achraf Hakimi, Hakim Ziyech, dan Noussair Mazraoui secara terbuka menggunakan tanda pagar #FreePalestine di platform masing-masing.
Bintang Algeria Riyad Mahrez sebelum ini pernah mengibarkan bendera Palestin ketika meraikan kejuaraan Liga Perdana Inggeris bersama Manchester City, satu tindakan yang menerima pujian meluas. Dua pemain Leicester City, Hamza Choudhury dan Wesley Fofana, turut berbuat demikian selepas menjulang Piala FA 2021, menjadikan momen itu simbol perpaduan dan empati terhadap perjuangan rakyat Palestin.Menariknya, sokongan terhadap Palestin bukan hanya datang daripada pemain di padang, tetapi juga tokoh berpengaruh dalam dunia bola sepak. Pengurus Manchester City, Pep Guardiola, beberapa kali menyuarakan pandangan pro-Palestin dan menggesa masyarakat dunia agar “tidak berdiam diri terhadap penindasan dan ketidakadilan”.
Sementara itu, bekas penyerang Manchester United dan legenda Perancis, Eric Cantona, menyeru FIFA dan UEFA mengharamkan penyertaan negara haram dalam bola sepak antarabangsa. Dalam konsert “Bersama Untuk Palestin” di London, Cantona berkata tindakan itu perlu seperti sekatan terhadap Rusia selepas pencerobohan ke atas Ukraine. Beliau menegaskan bola sepak bukan sekadar sukan, tetapi wadah memperjuangkan nilai kemanusiaan dan keadilan.
Walaupun sebahagian pemain berdepan risiko kritikan atau amaran daripada kelab dan pihak berkuasa sukan, ramai menegaskan bahawa sokongan mereka bukan bermotif politik, sebaliknya berasaskan nilai kemanusiaan dan keadilan sejagat.
Di tengah konflik yang semakin memuncak serta usaha kemanusiaan seperti Global Sumud Flotilla yang terus dihalang, suara daripada padang bola ini menjadi simbol bahawa sukan juga mampu menjadi medium keberanian membawa mesej solidariti dan harapan buat Palestin di mata dunia.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami