Tumpuan Liga Perdana Inggeris Barclays (BPL) sejak semalam sudah pasti hari terakhir kapten pasukan Liverpool, Steven Gerrard beraksi di Anfield esok.

Gerrard, 34 tahun bakal beraksi buat kali terakhir di gelanggang keramat milik Liverpool sebagai pemain sebelum berhijrah ke Los Angeles Galaxy.

Peminat, pemain, pengurus bola sepak dan media memberi penghormatan kepada Gerrard yang bakal berhijrah ke Amerika Syarikat selepas musim ini tamat.

Lagenda Arsenal dan Perancis, Thierry Henry antara yang memberi penghormatan kepada Gerrard menerusi sebuah rakaman video yang dimuat naik saluran Youtube Sporting Life.



Bagi Henry, Gerrard adalah seorang pemain yang memberi kepuasan menonton perlawanan bola sepak dan seorang pemain tengah yang sangat dihormati.

Henry juga berpendapat Gerrard memberikan aksi yang terbaik berbanding pemain lain dalam BPL.

Justeru Henry menyimpulkan bahawa kepuasan menonton aksi Gerrard sudah cukup walaupun dia tidak pernah menjulang piala BPL sepanjang 17 tahun menyarung jersi Liverpool.

Pemain Queens Park Rangers, Joey Barton turut memuji Gerrard dengan menyatakan ketua pasukan Liverpool itu adalah seorang pemain tengah yang lengkap dalam generasinya.

Gerrard mampu melakukan hampir semua perkara dan berjaya melakukannya dalam tempoh yang lama.


Sedar atau tidak, Gerrard mempunyai gaya potongan rambut yang sama sejak zaman remaja lagi dan itu merupakan salah satu perkara menjadi bahan jenaka Barton dalam salah satu pos di Twitter.

Gerrard dalam sidang media semalam tidak menolak suasana penuh emosi pada perlawanan terakhirnya esok, bukan sahaja kepadanya malah pada keluarganya dan juga peminat.

Ia juga peluang terakhir untuk Gerrard mengucapkan selamat tinggal kepada peminatnya dalam perlawanan yang bakal ditayangkan secara langsung di seluruh dunia.

Gerrard turut bertekad untuk memenangi perlawanan terakhirnya menentang Crystal Palace di Anfield esok.

Bekas rakan sepasukannya, Jamie Carragher pula berharap Gerrard tidak menangis semasa mengucapkan selamat tinggal kepada para penyokong di Anfield.

Gerrard hanya mampu tersenyum dan menyatakan dia tidak sekeras dan macho seperti Carragher yang mungkin tidak menitiskan air matanya semasa mengucapkan selamat tinggal kepada Anfield.

Baginya menitiskan air mata bukan satu perkara yang memalukan dan semua orang hanya perlu tunggu dan lihat sama ada dia akan menangis atau tidak esok.

Gerrard memulakan kerjaya sebagai pemain profesional bersama Liverpool 17 tahun lalu dan membuat penampilan pertama pada 29 November 1998 menentang Blackburn Rovers.

Pencapaian terbaik Gerrard sudah pasti pada musim 2000-2001 apabila memenangi Piala FA, Piala Liga dan Piala UEFA.

Gerrard menggantikan Sami Hyypia sebagai ketua pasukan pada Oktober 2003 selepas pengurus pasukan, Gerard Houllier berpuas hati dengan kualitinya sebagai pemimpin dalam pasukan itu.

Pada musim 2004-2005, Gerrard mengetuai pasukan Liverpool untuk menjuarai piala berprestij Liga Juara-juara Eropah (UCL) dibawah bimbingan pengurus pasukan, Rafael Benitez.

Siapa sangka, Gerrard mampu mengembalikan semangat pasukannya yang ketinggalan 0-3 pada separuh masa pertama final UCL menentang AC Milan sekaligus muncul juara.

Selepas menjuarai UCL, Gerrard hampir berhijrah ke Chelsea namun menolak tawaran £20 juta untuk kekal bersama Liverpool.

Bagaimanapun impian peminat untuk menyaksikan Gerrard mengakhiri kerjayanya di Liverpool dan pemain bertaraf dunia yang setia kepada satu kelab sahaja musnah, apabila dia membuat keputusan untuk berhijrah ke Amerika.

Selepas pelbagai spekulasi, pada 7 Januari 2015, LA Galaxy mengesahkan bahawa Gerrard menandatangani kontrak 18 bulan bersama kelab itu.

Pengguna media sosial meluahkan perasaan mereka di Twitter mengenai perlawanan terakhir Gerrard di Anfield esok.


Gerrard bukan sahaja mencapai impian untuk menjadi lagenda dan ketua pasukan bagi Liverpool, namun Gerrard juga berjaya mencapai impian menjadi ketua pasukan England.

Sepanjang 104 penampilannya bersama England, Gerrard menjaringkan 21 gol namun gagal mengecapi sebarang kejayaan bersama skuad Three Lions.