SEPANG: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) mengumumkan insentif wang tunai RM40,000 seorang buat beregu boling padang wanita negara, Nur Ain Nabilah Tarmizi-Aleena Ahmad Nawawi yang muncul Juara Kejohanan Boling Padang Dunia di Gold Coast, Australia pada Sabtu lepas.

Menterinya, Hannah Yeoh berkata wang insentif tersebut diberikan menerusi Skim Hadiah Kemenangan Sukan (SHAKAM) sebagai menghargai kejayaan kedua-dua atlet tersebut mengharumkan nama negara di kejohanan itu.

"KBS sangat gembira dengan kejayaan kedua-dua mereka. Di peringkat Majlis Sukan Negara (MSN), saya nak umumkan SHAKAM yang akan diberikan buat Nur Ain dan Aleena ialah RM80,000, jadi setiap seorang akan memperoleh RM40,000," katanya.

Hannah berkata demikian dalam sidang media selepas menyambut kepulangan skuad boling padang negara di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 2, di sini semalam.

Kejayaan gandingan wanita negara itu hadir selepas mereka menewaskan pasangan dari Malta, Rebecca Rixon-Connie Leigh Rixo 15-11 pada aksi final acara pairs wanita, sekali gus menamatkan penantian 15 tahun Malaysia meraih pingat emas di Kejohanan Dunia itu.

Beliau dalam masa sama turut mengumumkan insentif wang tunai berjumlah RM10,000 seorang masing-masing buat gandingan Idham Amin Ramlan-Izzat Dzulkeple yang memenangi pingat gangsa dalam acara pairs lelaki di kejohanan sama.

"Saya harap dengan insentif daripada KBS ini akan mendorong atlet kita terus cemerlang dan saya percaya mereka mempunyai prestasi yang sangat bagus kerana mereka masih muda," katanya.

Sementara itu, Presiden Persekutuan Lawn Bowls Malaysia (PLBM), Datuk Awalan Abdul Aziz menyifatkan kejayaan diperoleh skuad boling padang negara membuktikan proses rombakan bagi memartabatkan sukan itu kian membuahkan hasil.

"Kita atur balik sistem di mana kita perkenalkan sistem ranking dan juga perkenalkan Kejohanan Kebangsaan jadi berdasarkan merit kita hantar atlet-atlet ini ke Kejohanan Dunia. Alhamdulillah ia tunjukkan kejayaan," katanya.

-- BERNAMA