JOSE MOURINHO percaya 'bos besar' Manchester United, Alex Ferguson, pastinya akan menyangkal teori Ole Gunnar Solskjaer bahawa gelaran boleh menjadi satu bentuk keegoan buat seseorang pengurus.

Hampir dua setengah tahun di pucuk pimpinan Old Trafford, Solskjaer masih belum menjulang sebarang gelaran bersama kelab itu sambil menganggap pasukannya harus dinilai berdasarkan kemajuan mereka dalam kancah liga.

United menduduki tempat kedua Liga Perdana (EPL) sebagai bukti mereka sedang meniti laluan yang tepat selain memburu Liga Europa.

Kali terakhir mereka memenangi kejohanan ialah menerusi Liga Europa ketika dikemudi Mourinho termasuk kejayaan Piala Liga Inggeris (EFL) pada musim 2016-17.

The Red Devils kecundang lima kali dalam kempen liga musim itu tetapi seri 15 kali untuk menduduki tempat keenam, namun dalam kempen berikutnya mereka memberi cabaran kepada Manchester City dengan menguasai tangga kedua.

Karier Mourinho di United mula goyah selepas itu tetapi dia masih mampu mengisi kabinet kelab berkenaan dengan piala, jadi dia tidak bersetuju dengan kenyataan Solskjaer bahawa detik seumpamanya boleh menjadi satu keegoan buat pengurus dan kelab.

"Itu merupakan pendapatnya. Saya cukup yakin bahawa bos besarnya, Sir Alex, mempunyai pendapat yang berbeza tentang hal itu," katanya ketika ditemui menjelang pertembungan dengan United, malam esok.

"Tetapi saya menghormati apa yang difikirkan oleh Solskjaer. Saya mempunyai fikiran berbeza. Kebebasan berfikir dan jika itu cara dia fikir maka ia sesuatu yang baik bagi diri saya.

"Ini bukan soal tidak menghormati sesiapa pun. Tetapi saya percaya bos besarnya dan yang terbesar dalam sejarah EPL pasti mempunyai pandangan yang berbeda dalam hal itu."

Sementara itu, pengendali Portugis tersebut yakin tuan rumah mampu menyahut cabaran itu untuk menghadiahkan satu tamparan hebat yang kedua kepada bekas majikannya terbabit buat kali kedua musim ini.

Selepas kemenangan menakjubkan 6-1 di Old Trafford, Oktober lalu, Mourinho mahu menamatkan 22 rentetan perlawanan tanpa kalah United dalam EPL.

"Saya fikir kemenangan 6-1 itu tidak mencerminkan kenyataan sebenarnya," katanya.

"Kadang-kadang ia boleh berlaku di antara dua kelab besar, ini boleh jadi satu keputusan gila tetapi ia berlaku secara janggal. Saya mahu pergi lebih jauh ke arah dua perlawanan. Saya lebih cenderung melihat dua perlawanan terakhir membabitkan kami sebelum itu.

"Kami tewas 1-2 di Old Trafford dengan sepakan penalti dan kami seri 1-1 di laman sendiri musim lalu juga dengan penalti.

"Bagi saya, inilah realitinya. Kedudukan kami tidak jauh di antara satu sama lain. Saya rasa ini akan menjadi satu perlawanan yang sukar buat kedua-dua pasukan."

- StadiumAstro.com \ Shaiful Shamsudin