Barisan pengadil bola sepak kebangsaan tidak terkecuali daripada terkesan dengan impak pandemik COVID-19 dan ia ditambah lagi apabila elaun tugasan perlawanan mereka dikurangkan daripada kadar biasa.

Kadar elaun tugasan pegawai perlawanan bagi saingan Liga Malaysia (Liga-M) 2020 yang kembali bersambung secara rasmi hari ini dipotong sebanyak 15 peratus sebagai langkah penjimatan berikutan pandemik itu.

Menurut sumber, keputusan yang berkuat kuasa 22 Ogos lepas itu dibuat secara drastik dengan tidak mengambil pandangan keseluruhan pengadil.

Katanya, cadangan awal adalah pemotongan sehingga 30 peratus.

"Apa yang terkilan adalah keputusan itu dibuat tanpa mengadakan perbincangan bersama pihak yang terkesan dan mereka (pengadil) hanya dimaklumkan mengenai pemotongan itu selepas keputusan dibuat," katanya kepada Bernama, hari ini.

Katanya kebanyakan pengadil kebangsaan bukan berstatus profesional dan mempunyai pendapatan tetap, sebaliknya tugasan mengadili perlawanan adalah pekerjaan sambilan.

"Kalau perkara ini mengambil pandangan kesemua pengadil, pasti dapat capai satu keputusan yang lebih baik. Kebanyakan pengadil mempunyai pekerjaan hakiki yang lain dan perlu mengambil cuti tanpa gaji sekiranya dipanggil mengendalikan sesuatu perlawanan," katanya, sambil menambah bahawa kadar elaun tugasan pegawai perlawanan Liga-M berbeza mengikut pertandingan serta tugas.

Menurut beliau, kadar baharu selepas pemotongan 15 peratus menyaksikan pengadil bagi saingan Liga Super dibayar RM425, penolong pengadil satu dan dua (RM340) dan pegawai keempat (RM212.50) sementara untuk Liga Premier pula, pengadil (RM340), penolong pengadil satu dan dua (RM255) dan pegawai keempat (RM127.50).

Bagi saingan Piala Malaysia menyaksikan pengadil dibayar mengikut peringkat perlawanan dengan pengadil dibayar RM510, pengadil satu dan dua (RM382.50) dan pengawai keempat (RM255) bagi aksi peringkat kumpulan.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pengadil FAM Md Dali Wahid yang mengesahkan perkara tersebut berkata perkara itu diputuskan dalam mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) dan dipersetujui Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Beliau berkata pemotongan itu hanya bersifat sementara sehingga tamat saingan musim 2020 serta hanya melibatkan elaun tugasan, manakala kadar bagi tuntutan elaun perjalanan dan elaun makan adalah kekal.

"Keputusan dibuat disebabkan rasa tanggungjawab terhadap kesan daripada COVID-19 dan atas dasar itu, semua bersetuju elaun tersebut dipotong. Ia satu perkara menang-menang bagi semua pihak, ia juga telah dibawa ke jawatankuasa dan berbincang bersama MFL serta FAM," katanya.

-- BERNAMA