SUKAN
England tiada apa untuk dibuktikan selepas tempah slot ke final Euros - Lucy Bronze

Lucy Bronze dan Beth Mead dari England ketika beraksi dalam perlawanan separuh akhir Euro Wanita UEFA 2025 antara England dan Itali di Stade de Geneve, Lancy, Switzerland, 22 Julai 2025. REUTERS
LONDON: Lucy Bronze menegaskan bahawa England tidak perlu membuktikan apa-apa lagi selepas menempah slot ke perlawanan akhir Euro Wanita 2025 dengan kemenangan dramatik 2-1 ke atas Itali dalam separuh akhir di Geneva, lapor PA Media/dpa.
Juara bertahan itu turun sebagai pilihan utama, namun memerlukan jaringan penyamaan saat akhir oleh pemain gantian berusia 19 tahun, Michelle Agyemang, sebelum gol kemenangan Chloe Kelly pada masa tambahan mengesahkan kemaraan mereka ke final.
Sikap juang tanpa mengenal putus asa oleh skuad Lionesses mendapat pujian ramai, namun aksi pembukaan yang menyaksikan kekalahan kepada Perancis serta dua kemenangan tipis dalam pusingan kalah mati turut menimbulkan kebimbangan mengenai keupayaan England menentang cabaran getir sama ada Sepanyol atau Jerman di pentas akhir.
"Saya rasa orang luar fikir pasukan perlu menang setiap perlawanan," kata Bronze."Ramai bercakap soal konsistensi pasukan England ini - kami sudah layak ke enam separuh akhir berturut-turut dan tiga final berturut-turut. Siapa lagi yang pernah lakukan begitu? Tiada.
"Sepanyol dan Jerman pun pasukan hebat, tetapi mereka belum berjaya capai pencapaian itu."
Menurut Bronze, sukar untuk kekal di puncak bola sepak antarabangsa kerana kebanyakan pasukan menunjukkan prestasi turun naik, namun England terus berjuang hingga ke penghujung setiap perlawanan.
"Saya rasa kami tak perlu buktikan apa-apa lagi sebab kami dah capai semua itu berkali-kali.
"Realitinya, bola sepak antarabangsa kini jauh lebih mencabar. Semua pasukan mahu menang dan percaya mereka boleh menang."
Bronze, 33, yang kini beraksi dalam kejohanan utama ketujuhnya, merupakan pemain paling senior dan berpengalaman dalam skuad bimbingan Sarina Wiegman di Switzerland.
Beliau turut memuji Agyemang - pemain termuda pasukan - yang telah menjaringkan tiga gol dalam empat penampilan pertamanya sejak debut pada April, termasuk gol penyamaan penting menentang Sweden di suku akhir.
Agyemang juga hampir menjaringkan gol kemenangan pada malam Selasa apabila rembatannya terkena palang di penghujung masa tambahan.
"Dia sedikit luar jangkaan, dan membawa sesuatu yang berbeza berbanding penyerang lain - sesuatu yang mungkin pasukan lawan tidak biasa hadapi, terutamanya dalam jersi England," kata Bronze.
"Itu beri dia keyakinan, dan pasukan serta Sarina sendiri beri dia kebebasan untuk bermain dengan yakin, jaringkan gol, dan berseronok atas padang.
"Bila dia jaringkan gol pertama, kami kata, 'pergi buat lagi'. Dan memang itu yang dia cuba sepanjang baki permainan.
"Dia buat larian sendiri, dua tiga kali ketika masa tambahan, seolah-olah dia mahu bawa pasukan ini ke final. Sangat luar biasa, dan ia beri keyakinan kepada seluruh pasukan."
Wiegman kini memimpin pasukannya ke lima final kejohanan utama berturut-turut - ketua jurulatih pertama yang melakukannya dalam bola sepak lelaki atau wanita.
Jurulatih dari Belanda itu, yang telah membawa England ke tiga final berturut-turut, berharap aksi final Ahad ini tidak perlu ditentukan di saat akhir.
"Saya memang mahu kami mendahului sejak awal perlawanan dan terus kekal di depan," kata Wiegman. "Kami sediakan semua kemungkinan, tetapi bukan bermakna kami mahu ketinggalan dan hanya mula jaringkan gol di hujung permainan.
"Itu bukan sebahagian daripada pelan permainan. Tetapi apa yang ditunjukkan ialah jika kami ketinggalan, kami tidak akan mengalah dan tetap berjuang untuk bangkit."
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami