Perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) Manchester United dan Bournemouth yang dibatalkan akibat penemuan bungkusan mencurigakan pada Ahad bakal berlangsung esok.

Pengumuman dibuat menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan oleh jurucakap EPL pada Ahad.

“Kami dapat sahkan perlawanan Manchester United dan AFC Bournemouth yang dibatalkan pada Ahad akan berlangsung pada Selasa, 17 Mei, 8 malam (waktu tempatan),” menurut kenyataan itu.

Pengumuman dibuat selepas pihak tentera meletupkan sebuah bungkusan di Stadium Old Trafford, Manchester setelah satu ‘alat seakan bahan letupan’ ditemui sejurus sebelum perlawanan terakhir kedua-dua pasukan musim ini berlangsung.

Pada Ahad, puluhan ribu peminat diarah mengosongkan tempat duduk di stadium yang berkapasiti 75,600 penonton itu apabila amaran dikeluarkan kira-kira 20 minit sebelum sepak mula pada jam 1400 GMT.

United mengesahkan sebuah bungkusan telah dijumpai dan menghantar tweet menyatakan perlawanan telah “dibatalkan.”