Euro 2020 telah ditangguh sehingga 2021 berikutan krisis koronavirus, umum Persatuan Bola Sepak Norway.

Kejohanan tersebut dijadualkan berlangsung tahun ini dari 12 Jun hingga 12 Julai, merentasi 12 buah negara termasuk England, Scotland dan Ireland.

Twitter Norwegian FA menyatakan: “Uefa mengambil keputusan bahawa Euro perlu ditangguh sehingga 2021. Ia akan dimulakan dari 11 Jun hingga 11 Julai tahun depan.”

Penangguhan kejohanan Eropah itu bagaimanapun membayangkan tempoh sebulan untuk menghabiskan pertandingan antara kelab termasuk Liga Juara-Juara dan Liga Europa. Namun itu juga suatu yang sukar, memandangkan kejohanan Eropah bagi wanita pula dijadual pada 7 Julai hingga 1 Ogos tahun hadapan.

Keputusan untuk menunda Euro 2020 telah dijangka. Pada Selasa, umum mengetahui tentang Uefa membatalkan tempahan hotel minggu lalu di Copenhagen, iaitu salah satu daripada bandar tuan rumah.

CPH Hotel mengesahkan bahawa Uefa telah menempah 80 unit bilik seminggu yang lalu, namun telah membatalkannya. Marienlyst Strandhotel juga memberitahu, Uefa telah membatalkan tempahan bilik bagi pihak pasukan Denmark, yang lazimnya ditempatkan di situ.