LEWIS Hamilton sangat kecewa dengan dirinya sendiri selepas dia dan rakan sepasukan Mercedes, George Russell, tersingkir dalam kelayakan menjelang Grand Prix (GP) Austria, hujung minggu ini.

Berdasarkan pecutan di Spielberg sebentar tadi, perlumbaan sebenar kelak pasti menjanjikan persembahan dramatik selepas pemandu Red Bull, Max Verstappen, terpantas di depan duo Ferrari, Charles Leclerc dan Carlos Sainz.

Hamilton masih belum memenangi sebarang perlumbaan musim ini selepas 10 pusingan tetapi kelihatan hampir pasti merebut petak utama sebelum keretanya hilang kawalan di Pusingan 7, lalu menyebabkannya terbabas ke penghadang.

Kemalangan ketika sesi kelayakan ketiga (Q3) itu secara tidak langsung menjejaskan peluangnya untuk bermula di petak hadapan, juara dunia tujuh kali tersebut sebaliknya tergelincir ke petak ke-10.

Russell turut bernasib baik apabila dia menyebabkan satu lagi bendera merah selepas jenteranya berpusing ke penghadang di selekoh terakhir.

Bagaimanapun, Hamilton yang mencatat masa terpantas dalam permulaan Q2 kecewa gagal melaksanakan tugas di Red Bull Ring itu.

"Ia satu pelanggaran yang teruk tetapi saya tidak apa-apa," katanya kepada Sky Sports.

“Saya amat kecewa dengan diri sendiri dan sangat terkilan berikutan pasukan telah bekerja keras untuk menyiapkan kereta ini.

"Saya terbabas di penghujung Pusingan 7 dan itu sahaja. Saya begitu bersemangat. Sudah tentu saya bersemangat untuk melihat kemampuan kami. Hari ini, saya tidak sangka ia begitu dekat.

"Ia satu tanda positif yang besar daripada pasukan tetapi saya agak jauh (untuk memecut) jadi saya tidak pasti apa yang mungkin boleh dilakukan di situ.

"Saya harap saya boleh menebus masa yang hilang."